Dibincangkan di sini fadilat Ramadan, puasa dan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa;
Pertama: Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi SAW:
"Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka: Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam."
Hadis ini menunjukkan kemuliaan Ramadan dan mulut orang yang berpuasa di sisi Allah SWT di samping syaitan dibelenggu kerana kelebihan Ramadan.
Kedua: Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa'd sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan al-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya."
Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Zain bin al-Munir dalam al-Fath al-Bari:
"Sesungguhnya dikatakan pada Syurga, tidak dikatakan bagi Syurga untuk menggambarkan bahawa pintu itu sendiri sebahagian daripada kenikmatan dan kerehatan yang membawa lebihan rasa rindu kepadanya."
Ketiga: Mengikut riwayat al-Nasaie sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi SAW:
"Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum dan siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya."
Hadis ini menunjukkan kelebihan minuman dalam syurga yang menghilangkan dahaga selama-lamanya.
Keempat: Mengikut riwayat Imam Ahmad dan al-Nasaie daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah SAW:
"Puasa merupakn perisai."
Dan daripada Uthman bin Abi al-As;
"Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat. Ini kerana, puasa mempunyai kelebihannya yang tersendiri dan pada ghalibnya, mereka yang berpuasa akan memelihara nilai puasanya."
Kelima: Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Uthman bin Abi al-As:
"Puasa merupakan perisai daripada azab Allah."
Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa yang melindungi tuannya daripada disambar api neraka.
Keenam: Imam Ahmad, Muslim dan al-Nasaie meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa'id,
"Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi."
Hadis ini menggambarkan kemuliaan orang yang berpuasa semata-mata kerana Allah SWT yang sudah pasti mendapat pembalasan daripadanya.
Ketujuh: Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi SAW bersabda:
"Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak."
Hadis ini menunjukkan kelebihan orang yang berpuasa dengan mustajabnya doa.
Kelapan: Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya:
"Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan."
Hadis ini menunjukkan terlalu banyak kelebihan orang yang berpuasa sekalipun diam dan tidur.
Kesembilan: Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, al-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi SAW bersabda:
"Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam."
Hadis ini menunjukkan keampunan Allah SWT kepada yang berpuasa.
Kesepuluh: Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:
"Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa."
Hadis ini menggambarkan betapa sabarnya orang yang berpuasa.
Kesebelas: Imam Ahmad, al-Turmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah:
"Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat ke atasnya sehingga selesai makanannya."
Hadis ini dengan jelas menunjukkan betapa malaikat berdoa dan berselawat kepada yang berpuasa.
Sebenarnya, banyak lagi kelebihan puasa dan Ramadan seperti mendapat syafaat dan dijauhkan daripada neraka.
Justeru, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dengan kunjungan Ramadan al-Mubarak dengan berpuasa dan beramal.
(Sumber: Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri)
Tahukah saudara apakah bekal itu? Benih-benih kebajikan yang harus kita tabur di dalam jiwa keluarga Muslim seluruhnya. Tekad kita yang membaja untuk memerangi nafsu, agar kita mampu menghidupkan malam Ramadan dengan solat dan tadarus, serta siangnya dengan ibadah kepada Allah melalui pengabdian untuk agama, bangsa dan negara.
Sebagai keluarga Muslim kita seharusnya gembira menyambut kedatangan bulan Ramadan dan menghadapi dengan dada yang sangat lega; dengan jiwa yang tenang, dengan hati yang tenteram. Bagi orang Islam yang beriman mereka menerima kehadiran bulan yang barakah ini dengan penuh kegembiraan. Ini kerana pengembaraan Ramadan yang begitu lama sudah kembali semula menemui kita.
Sesungguhnya Allah mewajibkan puasa adalah untuk membersihkan jiwa dari sifat-sifat yang hina dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang mulia serta menjauhkannya daripada setiap sifat yang tercela. Kita dianjurkan banyak bersabar dan berjihad melawan hawa nafsu. Dengan puasa juga iman seseorang Muslim akan bertambah kuat dan bersih.
Ramadan menawarkan pelbagai tawaran dan ganjaran untuk keluarga Muslim yang beriman. Sebab itu juga bulan ini dikenali sebagai bulan ibadah. Iaitu bulan di mana orang-orang yang beriman berebut-rebut mengerjakan amalan soleh.
Orang-orang yang beriman sahaja yang tahu menghargai Ramadan. Sebab itu mereka mempertingkatkan amalan baik seperti bersedekah, terawih, qiamullail, membaca al-Quran, berzikir dan bermacam-macam amalan baik yang lain pada bulan yang mulia.
Banyak kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadan dibandingkan dengan bulan-bulan lain dalam Islam. Kitab suci al-Quran yang menjadi panduan hidup kita diturunkan di dalam bulan mulia ini. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang berbunyi: Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar. (al-Qadr: 1)
Umat Islam harus menghayati keagungan bulan Ramadan ini. Bulan di mana Allah telah menurunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi seluruh umat manusia. Ini adalah bulan kembali dan taubat, bulan pengampunan dan rahmat, bulan kebebasan dari api neraka dan kemenangan berupa syurga.
Menghadapi bulan Ramadan memerlukan persiapan mental dan spiritual khususnya dari segi semangat dan ketahanan. Ini sangat penting untuk mendapatkan hasil yang maksimum daripada kegiatan puasa itu.
Ada sesetengah orang bersiap sedia dari segi mental tetapi tidak mempunyai nawaitu (niat). Manakala sesetengahnya sempurna dari segi niat tetapi tidak pula mempunyai semangat dan ketahanan dalam menghadapi puasa di bulan Ramadan.
Kurang daripada segi penghayatan atau pendidikan Ramadan barangkali menjadikan sesetengah orang tidak bersemangat. Kalau bersemangat pun tidak tahan lama, bersifat sementara dan 'hangat-hangat tahi ayam'.
Sebab itu, orang yang berpuasa tanpa persiapan mental dianggap sia-sia seperti sabda Nabi yang bermaksud: "Betapa banyak orang yang berpuasa tetapi tidak mendapatkan sesuatu dari puasa itu selain lapar dan dahaga."
Dalam setahun di mana terdapat 12 bulan hanya ada satu bulan Ramadan. Ia tidak sampai 10 peratus. Tetapi dengan melihat nilai kualitatif dan kepadatan ibadah yang ada di dalamnya, maka bulan Ramadan menjadi sangat signifikan jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan sebelas bulan lainnya. Justeru, alangkah naifnya kalau kita menghadapinya secara biasa-biasa sahaja, lesu dan tidak bersemangat.
Mari kita persiapkan diri serta keluarga dan bersiap sedialah lebih awal untuk ke masjid. Jangan ambil mudah dengan mengatakan bahawa solat berjemaah dan solat terawih hukumnya cuma sunat.
Demikian juga solat Subuh, usahakan untuk bersedia sebelum waktu Imsak, pastikan semua urusan dapur sudah selesai. Lebih penting segala-galanya perlu siap sebelum azan dan kita sudah berada di masjid. Anda sudah tentu tidak kehilangan kesempatan untuk solat tahiyatul masjid dan solat sunat rawatib - yang nilainya lebih mulia daripada dunia berserta isinya.
Puasa juga mendidik kita untuk belajar bangun awal. Sesetengah daripada kita menganggap kerana hukumnya sunat maka sahur ditinggalkan. Kalau kita sudah biasakan diri untuk bangun lebih cepat selama sebulan Ramadan maka ini bererti kita sebenarnya sudah mampu untuk melakukannya di luar bulan Ramadan. Di mana lagi kita dapat miliki peluang seperti itu kalau tidak di bulan Ramadan selama sebulan terus-menerus.
Persiapan kita bukan sekadar menghadapi lapar dan dahaga tetapi bersedia untuk memahami dan menghayati makna-makna falsafah yang terdapat di dalamnya.
Tidak tahan mengantuk juga menjadi masalah besar di kalangan orang kita pada bulan Ramadan. Memang ada hadis yang menyatakan bahawa tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadah. Tetapi itu bukan perintah untuk memperbanyakkan tidur di bulan Ramadan. Tidak ada contoh daripada Nabi, sahabat dan orang-orang soleh mengenai hal ini. Malah Nabi mengurangi tidurnya pada malam-malam bulan Ramadan hingga batas yang paling minimum. Mereka banyak membaca al-Quran, zikir dan sembahyang.
Sepintas lalu amalan-amalan seperti ini amat berat tetapi ia bukan terletak pada sesuatu amalan melainkan pada cara kita memikirkan amalan itu. Kalau kita memikirkan sesuatu itu berat maka ia dengan sendirinya menjadi berat, tetapi kalau kita memikirkannya mudah maka dengan sendirinya ia akan mudah.
Di samping persiapan dari segi spiritual, ingatlah Ramadan adalah bulan maghfirah (pengampunan) dan rahmah (kasih sayang). Persiapan dari segi rohani diperlukan untuk membetulkan niat, membersihkan hati, membangun tekad dan bersiap untuk menerima bimbingan serta petunjuk Allah SWT.
Sebaik-baiknya sebelum puasa tiba, sesuaikanlah diri dengan amalan seperti solat wajib kerana sesetengah orang berpuasa tetapi tidak melaksanakan solat. Kemudian hidupkan solat-solat rawatib, sembahyang tahajud, berpuasa setiap Isnin dan Khamis, perbanyakkan sedekah, zikir, baca al-Quran, berdoa, dan hindari dosa-dosa kecil.
Sesungguhnya graf puasa nabi dan sahabat-sahabat meningkat berterusan sejak puasa pertama hingga hari puasa terakhir. Dan graf itu mengalami peningkatan yang amat tajam pada saat-saat akhir bulan Ramadan.
Tetapi bukan sedikit di antara kita yang grafnya terbalik. Semakin menjelang Ramadan, semakin banyak masa dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak ada hubungan sama sekali dengan kesucian bulan Ramadan.
Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan Syaaban kerana pada bulan tersebut orang Arab akan berhijrah ke tempat lain untuk mencari air sehingga ke gua-gua. Ada mengatakan Syaaban tanda pemisah Rejab dan Ramdhan.
Di sini, dapatlah disimpulkan bahawa pengertian Syaaban adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan memasuki bulan Ramadhan.
Sebahagian hukama' menyatakan bahawa Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa. Syaaban pula untuk memperbaiki diri daripada segala macam celaan dan Ramadhan untuk menerangkan hati dan membersihkan jiwa.
Antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban ialah memperbanyakkan puasa sunat. Kitab Durratun Nasihin ada menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sesiapa puasa 3 hari pada permulaan Syaaban dan 3 hari pada pertengahan Syaaban serta 3 hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya seperti pahala 70 nabi dan orang yang beribadah kepada Allah selama 70 tahun dan apabila dia mati pada tahun itu, maka dia seperti mati syahid."
Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang mengagungkan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, Allah akan ampuni dosanya dan menyelamatkannya dalam tahun itu daripada segala bencana dan penyakit."
Akhirul kalam, sama-samalah kita menghayati dan menambahkan amalan kebaikan dalam bulan ini dan Ramadhan yang bakal kunjung tiba.
Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), lapisan yang dikenali sebagai termosfera, iaitu lapisan yang menghalang pancaran ultra-ungu yang berbahaya mengalami kadar pengecutan yang tinggi.
Pengecutan yang luar biasa ini dikhuatiri mampu memberi kesan kepada pergerakan satelit di angkasa, tetapi dilaporkan tidak akan mengganggu keadaan cuaca di muka bumi.
Seorang penyelidik NASA, John Emmert berkata: "Pengecutan itu merupakan yang terbesar dalam tempoh 43 tahun. Kami tidak dapat menjelaskan kepadatan luar biasa lapisan termosfera itu, iaitu 30 peratus lebih rendah daripada paras normal.
Berdasarkan laporan di atas, dapatkan disimpulkan bahawa dunia ini telah hampir ke penghujungnya. Bagaimana amalan dan ibadah kita ketika ini?Adakah semakin bertambah atau penuh dengan dosa dan maksiat? Sama-samalah kita renungi pada bulan yang mulia ini bermuhasabah diri. Buatlah persediaan untuk menghadapi bulan Ramadhan yang semakin hampir tiba. Pada bulan tersebut, Allah telah menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda. Jangan lepaskan peluang merebut seberapa banyak pahala. Pada bulan tersebut juga, berlakunya satu peristiwa yang dinamakan "Malam Lailatul Qadar". Sama-samalah berusaha mendapatkan malam tersebut.
Semasa hidupnya, Al-Khawarizmi merupakan pakar metematik dan falak. Beliau pengasas kepada ilmu algebra sebagai satu cabang ilmu yang terpisah daripada matematik dan geometri.
Kepakaran dan kepintarannya itu diperakui masyarakat barat dan timur. Bukunya "Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah" diterjemahkan di barat dengan judul "Mathematics of Integration and Equation". Melalui buku inilah lahirnya istilah algebra yang digunakan sehingga ke hari ini.
Al-Khawarizmi mendapat sokongan Khalifah Al-Makmun untuk menulis buku ini bagi membantu orang ramai menjalankan urusan sehariannya. Kesungguhannya terhadap ilmu mendorong Khalifah Al-Makmun melantiknya mengetuai para sarjana ilmu falak di Baitul Hikmah atau Dewan Pengetahuan.
Formula matematik yang dikemukakan Al-Khawarizmi masih digunakan sehingga ke hari ini. Sumbangannya kepada perkembangan kedua-dua ilmu (formula matematik dan astronomi) terlalu besar sehingga untuk mengenangkan jasa-jasanya, para sarjana barat telah mencipta satu istilah matematik, iaitu logaritma, bersempena dengan namanya.
Pengeluaran fatwa di Wilayah Persekutuan perlu dilihat dalam dua konteks; daripada segi hukum syarak dan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 atau Akta 505.
(1) Daripada segi hukum syarak, pelantikan Mufti hukumnya fardu kifayah. Apabila seseorang itu telah dilantik sebagai Mufti, menjalankan tugas memberi fatwa adalah fardhu ‘ain baginya. Fatwa bererti : memberitahu hukum syarak pada sesuatu perkara yang berlaku. Pengeluaran fatwa dibuat melalui proses ijtihad. Malah, Imam al-Syaukani mentakrifkan fatwa sebagai ‘al-ijtihad’. Wajib bagi seseorang Mufti berpegang dengan pendapat ijtihadnya, dan haram baginya mengikut pendapat orang lain yang berbeza dengan ijtihadnya. Hukum ini adalah ijmak (disepakati) di kalangan ulama.
(2) Daripada segi undang-undang, Perkara 33 Akta 505 menyebut mengenai kuasa Mufti seperti berikut :
“Mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihakberkuasa utama di Wilayah-Wiilayah Persekutuan selepas Yang di Pertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Akta ini“.
Mengenai Fatwa, perkara 34 menyebut :
(1) Mufti hendaklah, atas perintah Yang di Pertuan Agong, dan bolehlah, atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang ditujukan kepada Mufti, membuat dan menyiarkan dalam Warta satu fatwa atau pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atas yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubungan dengan Hukum Syarak.
(2) Tiada pernyataan yang dibuat oleh Mufti boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika dan sehingga pernyataan itu disiarkan dalam Warta menurut subseksyen (1).
(3) Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang bermastautin di Wilayah-Wilayah Persekutuan sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu melainkan jika dia dibenarkan oleh Hukum Syarak tidak mengikut fatwa itu dalam perkara-perkara amalan, kepercayaan, atau pendapat peribadi.”
Perkara 37 memperuntukkan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak bagi membantu Mufti dalam mengeluarkan fatwa. Tidak terdapat dalam Bahagian 111 Akta 505 ini apa-apa peruntukan bahawa Mufti perlu menunggu atau patuh kepada keputusan daripada mana-mana pihak. Ini bertepatan dengan hukum syarak seperti yang disebutkan di atas.
Mengenai hubungan dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, dalam Akta 505 tidak terdapat apa-apa peruntukan yang menyentuh mengenai
hal ini. Mungkin pihak lain dapat memberi penjelasan berkaitan dengan perkara ini.
Proses Pengeluaran Fatwa ESQ
- Proses pengeluaran Fatwa di atas oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bermula sejak 1 Ogos 2008, apabila Cawangan Akidah, Bahagian Penyelidikan JAKIM memulakan Kajian ekoran aduan orang ramai berhubung dengan status Kursus tersebut. Hasil Kajian ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Panel Kajian Akidah JAKIM (PKA) sebanyak 5 kali bermula daripada 27 ogos hingga 10 Februari 2009. Dalam masa tersebut, pihak JAKIM juga telah mengadakan pertemuan dengan pengasas ESQ, Ary Ginanjar Agustian.
- PKA akhirnya memperakukan bahawa Kursus ESQ Leadership Training disekat dan diharamkan beroperasi di negara ini.
- Kertas Kerja berkenaan Kursus ESQ dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke 86 pada 21 – 23 April 2009.Namun tiada keputusan muktamat dicapai.
- Selain daripada kajian di atas, terdapat kajian daripada IKIM dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang memperakukan bahawa Kursus ini tidak sesuai dan mengandungi penyelewengan akidah.
Sementara itu, JAKIM juga telah menubuhkan Panel Pemantau ESQ untuk membuat kajian lanjut yang dianggotai oleh 6 orang Pensyarah daripada Universiti-Universiti Tempatan. Laporan penuh Panel ini dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ke 90 pada 1 Mac 2010. Perakuan Panel ini adalah sama dengan penemuan PKA bahawa kursus ini menyeleweng dan perlu di sekat daripada beroperasi di Malaysia.
Berasaskan apa yang telah dibentangkan di atas, jelas bahawa Fatwa berkenaan dengan Kursus ESQ telah dibuat dengan teliti, mengikut hukum syarak dan undang-undang yang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan. Saya tidak nampak apa-apa alasan untuk mengenepikan keempat-empat kajian di atas dengan membuat keputusan yang berlainan daripada apa yang diperakukan. Dalam keadaan ini, menjadi fardhu ‘ain bagi saya mengeluarkan fatwa mengikut pendapat yang saya yakin, dan haram mengikut pendapat orang lain walaupun ramai bilangan mereka. Selain daripada itu, masa dua tahun yang diambil sebenarnya terlalu lama dan tidak selaras dengan dasar meningkatkan kecekapan sistem penyampaian di kalangan kakitangan kerajaan.
Mengenai penyelarasan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, sebenarnya banyak keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa ini tidak diselaraskan di peringkat negeri walaupun keputusan dibuat secara konsensus. Misalnya, keputusan harus melantik wanita menjadi Hakim Syarie yang dibuat pada Muzakarah yang diadakan pada 4 – 5 April 2006. Terdapat negeri yang membuat keputusan sebaliknya, iaitu ‘tidak harus’. Dalam istilah fikah ia bermakna haram. Adalah sukar difahami mengapa Fatwa yang satu ini ditekankan sangat soal penyelarasan.
Mengenai Panel Syariah ESQ, menurut Kenyataan Rasmi Syarikat ini Bil. 02/2010, ia ditubuhkan pada September 2009. Banyak tandatanya di sebalik penubuhan Panel ini. Pertamanya, ESQ telah beroperasi di Indonesia sejak 10 tahun yang lalu tanpa Panel Syariah. Setelah dibawa masuk ke Malaysia dan sepanjang kajian oleh Bahagian Penyelidikan JAKIM yang bermula Ogos 2009, dan sehingga Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan mengharamkannya pada 17 Ogos 2009, Panel ini belum ditubuhkan. Ia hanya ditubuhkan tidak sampai sebulan ESQ diharamkan. Penubuhannya dalam keadaan seperti ini mengundang pelbagai pertanyaan. Dan bagaimana pula dengan perkara kufur yang terdapat dalam buku ESQ yang edarannya hingga kini melebihi 800 ribu naskhah mengikut cetakan terbaru (Ke 44 Mac 2010). Selain daripada itu, mampukah Panel Syariah berada di setiap Sesi Kursus yang diadakan di merata tempat di seluruh dunia. Saya mendapat respons daripada seorang sahabat warganegara Malaysia yang tinggal di Amerika Syarikat memberitahu beliau pernah menghadiri sesi demonstrasi ESQ di sana. Dan banyak lagi pertanyaan lain yang saya serahkan kepada kebijaksanaan pembaca sekelian membangkitkannya.
Tentang kritikan bahawa saya tidak wajar membuat keputusan kerana belum menghadiri Kursus ESQ seperti Mufti-Mufti lain. Perkara ini sebenarnya berkaitan dengan metodologi penyelidikan dan penyiasatan, khususnya terhadap pembawa ajaran sesat. Untuk tidak menyeret isu ini kepada perbahasan ilmiah, saya suka mengembalikan ingatan pembaca sekalian kepada keputusan mengharamkan beberapa kumpulan sesat seperti Al-Arqam dan ajaran Ayah Pin. Adakah para Mufti diperlukan menjadi pengikut Abu Ya atau Ayah Pin terlebih dahulu sebelum membuat keputusan? Apakah oleh kerana ESQ mengadakan kursus-kursusnya di hotel-hotel bertaraf lima bintang, maka diperlukan para Mufti menghadirinya terlebih dahulu. Tetapi memandangkan Ajaran Al-Arqam dan Ayah Pin diadakan di pendalaman, maka syarat ini tidak diperlukan. Saya berpendapat amalan “double standard” seperti ini tidak sesuai bagi para Mufti yang diamanahkan untuk menjaga syariat Allah. yang Maha Suci. Oleh itu tidak ada keperluan bagi saya untuk menjadi pengikut “Ayah Ary” terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
Huraian lanjut berhubung dengan sepuluh perkara yang boleh merosakkan akidah itu akan dibuat melalui Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Akan didedahkan juga bagaimana Danah Zohar, Yahudi dari Amerika Syarikat begitu reda dengan “Islam” yang di bawa oleh Ary Ginanjar melalui bukunya ESQ.
Sekian, terima kasih.
DATUK WAN ZAHIDI BIN WAN TEH
Mufti Wilayah Persekutuan
(Sumber: www.muftiwp.gov.my)
Pertama: Daripada al-Quran
1. (Surah al-Talaq: 4)
Maksudnya: Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh iddah mereka) maka iddahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaid.
Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa iddah perempuan yang dicerai apabila dia masih kecil atau belum haid.
Al-Baghawi berkata: “Perkataan (وَاللائِي لَمْ يَحِضْنَ), iaitu mereka yang kecil belum lagi haid. Maka iddah mereka, juga tiga bulan.” (Tafsir al-Baghawi: 8/152)
Ibn Qayyim berkata: “Iddah perempuan yang tiada haid ada dua jenis, iaitu kecil yang tiada haid dan besar yang sudah putus haid.”
2. Allah SWT menerangkan iddah kedua-duanya melalui firman-Nya: (Surah al-Talaq: 4)
Maksudnya: Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh iddah mereka) maka iddahnya ialah tiga bulan, dan (demikian) juga iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaid.
Al-Hakim dan al-Baihaqi meriwayatkan di dalam sekumpulan perawi yang lain daripada Ubai Ibn Ka’ab, setelah turunnya satu ayat tentang iddah isteri beberapa orang penduduk Madinah mengatakan: “Antara iddah para isteri itu masih terdapat iddah-iddah yang tidak disebutkan di dalam al-Quran iaitu isteri yang masih kanak-kanak dan perempuan tua yang sudah berhenti haid serta perempuan-perempuan yang hamil.”
Lalu, turunlah firman Allah SWT dalam surah al-Nisa yang amat pendek iaitu sebahagian ayat sahaja.
Kedua: Sunnah
Maksudnya: Daripada Aisyah RAnha bahawa Nabi SAW mengahwininya sedangkan beliau berusia enam tahun dan bersama dengannya ketika berusia sembilan tahun. Kemudian hidup bersama Rasulullah SAW selama sembilan tahun. [Riwayat Bukhari (4840) dan Muslim (1422)]
Kanak-kanak yang kecil ini hendaklah dikahwinkan oleh ayahnya sahaja, bukan wali yang lain mengikut pendapat yang sahih di kalangan ulama’. Begitu juga, kanak-kanak tersebut tidak memiliki khiar apabila sudah baligh.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah Rahimahullah berkata: “Perempuan tidak sayugia bagi seseorang mengahwininya kecuali dengan izinnya, sebagaimana Rasulullah SAW perintahkan. Jika perempuan itu enggan dan benci, maka tidak boleh dipaksa untuk perkahwinan kecuali kanak-kanak kecil, yang mana bapanya boleh mengahwininya tanpa izin.” [Lihat Majmu’ al-Fatawa (32/39)]
Ketiga: Athar Sahabat
Diriwayatkan, ramai dikalangan sahabat berkahwin dengan kanak-kanak perempuan. Antaranya, Sayyidina Umar Ibn al-Khattab RA berkahwin dengan anak perempuan Sayyidina Ali RA yang pada masa itu masih kecil. Hal ini sabit dalam sejarah dan tarikh Khulafa’ al-Rasyidin.
Keempat: Ijma’
Terdapat ramai ulama’ menaqalkan ijma’. Antaranya:
- Ibn Abd al-Bar berkata: “Ijma’ para ulama’ bahawa ayah boleh mengahwini anak perempuannya yang kecil tanpa bertanya pendapatnya dan Rasulullah SAW telah berkahwin dengan Aisyah, anak Abu Bakar RA, sedangkan dia kecil usianya, enam tahun atau tujuh tahun yang dikahwini oleh ayahnya.” [Lihat al-Istizkar (16/49-50)]
- Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Anak dara yang kecil boleh dikahwini oleh ayahnya secara ittifaq di kalangan ulama’ kecuali yang asing dan pelik.” [Lihat Fath al-Bari (9/239)]
- Syeikh Sa’di Abu Jaib dalam Mausu’ah al-Ijma’ 3/1185 berkata: “Ulama’ ijma’ bahawa ayah boleh mengahwinkan anaknya yang kecil dan memaksanya. Dan ijma’ orang Islam bahawa ayah boleh mengahwini anak perempuannya yang kecil tanpa persetujuannya. Inilah ijma’ ahli Ilmi.”
Fatwa Ulama’
- Lajnah Buhuth dan Ifta’ 8416/2009 menyebut: “Hal ini tidak lah bercanggah dengan syariat.
- Dalam Mausu’ah Fatawa juga menyebut: “Ketika Rasulullah SAW berkahwin dengan Aisyah RAnha, usianya 50 tahun dan Aisyah pula berusia 6 tahun.”
- Syeikh Jad al-Haq dalam Buhuth wa Fatawa al-Islamiyyah 2/133 menyebut: “Bahawa harus dikahwinkan kanak-kanak yang belum baligh sebagaimana pendapat jumhur”.
- Syeikh al-Islam dalam al-Fatawa al-Kubra 3/79-80 berkata: “Jika yang meminang itu kufuk, maka hukumnya harus perkahwinan menurut yang paling asah dikalangan ulama’. Ia adalah mazhab Abu Hanifah dan Ahmad dalam masyhur pendapatnya. Ada pendapat yang menyatakan, perempuan tersebut boleh membuat pilihan apabila sudah baligh.”