Author: Unknown
•3:59 PM

Inilah pertama kali dalam hidup saya, sejak bergelar ustaz, tidak mampu
mengeluarkan apa-apa perkataan.

Hari ini 23 Jun jam 12.30 tengah hari, saya bersama pesakit HIV positif.
Pada hal ketika ini, penghuni semua sedang tidur, berehat setelah makan
ubat. Tetapi mereka semua bangun kerana mendapat tahu seorang ustaz
datang melawat mereka.

Saya tidak mampu mengeluarkan apa-apa perkataan bukan kerana mereka
pesakit HIV. Tetapi, tempat kami menyampaikan kuliah agama ini ialah di
dalam sebuah gereja.

Tetapi inilah hakikatnya. Tempat perlindungan pesakit HIV bagi orang
dewasa adalah di gereja. Orang bukan Islam yang menaungi mereka, dan
sudah beberapa yang mati di sini.

Menurut Kak Liza, bagi pesakit HIV dewasa, tidak ada tempat perlindungan
yang dibuat oleh orang Islam.

Majlis Agama Islam Selangor pernah bercadang untuk membuatnya, tetapi
hingga sekarang belum menunjukkan apa-apa perkembangan.

Saya malu pada diri saya saat ini. Seolah-olah, saya diberi tahu,

"apa lah kamu orang Islam ni, cakap aje pandai, saudara seIslam yang
sakit pun tidak dihiraukan".

Selesai taaruf, salah seorang dari mereka memberi tahu,

"Imam masjid sebelah selalu datang"

Hati saya menyapa:-

Kenapa tidak dibuat di masjid sahaja tempat perlindugan ini, bukannya
tak ada tanah..."

"Pihak MAIS ada jugalah jengok kami, tapi jarang-jarang. Dalam sebulan
sekali lah."

Hati saya menyapa:-

"Kena sampaikan ni, pada sahabat-sahabat dari MAIS. Kena buat sesuatu."

Saya masih kelu dan tidak mampu mengeluarkan apa-apa perkataan. Tajuk
apa yang saya nak sampaikan?

Tajuk Ukhuwah? Tajuk berkasih sayang sesama Islam? Tajuk "semua perkara
ada hikmah"? Tajuk apa? Tajuk apa yang sesuai?

"Aduhai Tuhan.. kenapa aku di sini hari ini.." rintih hati saya atau
lebih
tepat:-

"Kenapa sekarang baru dapat tahu, kenapa tidak peka, kenapa tidak dari
dulu lagi aku datang menjenguk sahabat-sahabat seIslam di sini.."

Akhirnya saya menyampaikan sedikit tazkirah, tak sampai dua minit. Saya
hanya membicarakan mengenai kasih sayang Allah pada manusia. Semakin
banyak saya berkata, semakin banyak hati saya berkata:-

"Ah.... pandai cakap aje, apa yang kamu buat hah..."

Tazkirah di akhiri dengan sedikit ucapan dari kak Liza.

Majlis berakhir dengan bersalaman. Salah seorang penghuni, dengan suara
yang rendah, berkata pada saya:-

"Ustaz.. terima kasih sebab datang ye.."

Nak menitik air mata saya melihat mereka. Dari mata mereka, mereka
seolah-olah memberi tahu saya,

"Ustaz, keluarkanlah kami dari gereja ini"

Saya melangkah keluar dari dewan kuliah. Di sebelahnya terdapat salib.
Yang masih boleh berjalan, menghantar saya hingga ke kereta.

Mereka melambai ke arah kami serombongan sambil berkata:-

"Nanti datang lagi ye.."

Van yang kami naiki menuruni cerun kawasan gereja. Hati saya tak
putus-putus berdoa:-

"Ya Allah, selamatkan iman mereka. Ya Allah, beri kami kemampuan, dalam
tahun ini insyaAllah, kami akan usaha mengeluarkan mereka dari gereja
ini Ya Allah."

Kami meninggalkan tempat ini. insyaAllah, selepas saya pulang dari Turki
nanti minggu depan, kita akan usahakan sesuatu, bisik hati saya.

Pada saya, mewujudkan tempat perlindungan ini dah taraf fardhu ain dah,
ini kerana tidak ada lagi tempat perlindungan bagi orang dewasa seperti
ini yang dibuat. Selagi ada orang Islam yang masih duduk di gereja ini,
selagi itulah tanggung jawab ini tidak terlepas dari setiap bahu orang
Islam.

Saya menyeru pada semua pembaca. Mari sama-sama kita usahakan. Jika ada
niat, maka, insyaAllah, pasti ada jalan.

InsyaAllah, saya akan mewar-warkan pada semua jika ia akan dimulakan.
InsyaAllah, dalam tahun ini juga, kita akan keluarkan mereka dari gereja
ini. InsyaAllah, dalam tahun ini juga, kita akan usahakan rumah
penjagaan bagi orang Islam.

Semoga sedikti niat ini mendapat bantuan ilahi, amin...

"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
24 Jun 09, jam 2.15 pagi
Author: Unknown
•9:00 AM
KATA orang mempertahankan suatu pencapaian yang tinggi lebih sukar daripada memperolehinya pada kali pertama. Namun, Malaysia telah membuktikan bahawa sehingga hari ini, negara bukan sahaja mampu mempertahankan bilad al-Quran (negara yang menghormati al-Quran) tetapi sentiasa memperbaiki mutu tilawah al-Quran yang dianjurkan.

Malah, kejayaan meletakkan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa yang mula dianjurkan sejak 9 Mac 1961 bersamaan 22 Ramadan 1380 Hijrah itu turut diakui oleh hakim luar negara.

Seorang daripadanya ialah Sheikh Alaa'eddin Mohd. Ali Al-Qari, 68, dari Iraq yang telah berbakti selama 26 tahun sebagai hakim tilawah antarabangsa di Malaysia.

Beliau yang menjadi hakim tajwid berkata, Malaysia bukan sahaja unggul dalam pengendalian dan pengurusan tilawah tetapi juga yang terbaik dari segi persediaan dan sambutan kepada para hakim yang bertugas.

"Sebab itu saya sanggup membatalkan jemputan yang lain jika ia bertembung dengan tugas sebagai hakim tilawah antarabangsa di Malaysia. Walaupun jaraknya jauh tetapi saya rasa adalah menjadi tanggungjawab untuk hadir pada tilawah di sini kerana ia paling berprestij," katanya dalam temu bual bersama media di Kuala Lumpur, tahun lalu.

Sememangnya kejayaan ini bukan mudah dicapai. Ia adalah hasil usaha dan kerjasama yang mantap di kalangan semua pihak terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dipertanggungjawab mengendalikan acara tahunan negara itu.

Menghimpunkan para peserta dari puluhan negara dengan bahasa dan adat resam yang berbeza sememangnya rumit. Demikian juga untuk memuaskan hati semua pihak lebih-lebih lagi para hakim yang majoritinya dari negara Arab.

Namun, berkat ketekunan, kesabaran dan kecekalan, semuanya berjaya dilaksanakan dengan cemerlang. Seterusnya mengharum dan meletakkan nama negara di status yang tinggi di kalangan negara-negara Islam dunia.

Hakikat yang disedari atau tidak oleh sebahagian besar masyarakat ialah tilawah ini telah merintis jalan kepada pembudayaan membaca al-Quran sehingga wujudnya beberapa institusi formal yang kekal sehingga kini.

Ini dipersetujui oleh Pengerusi Jemaah Hakim Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dalam pertemuan dengan Mega, baru-baru ini.

Katanya, untuk menilai pencapaian tilawah, ia perlu dilihat daripada segi impaknya kepada masyarakat Islam di Malaysia dan rantau Asia Tenggara amnya.

Menurut beliau, selepas 51 tahun menganjurkan tilawah ini, sekarang kelihatan masyarakat makin memberi perhatian kepada pendidikan al-Quran.

"Ia bukan lagi hanya menjadi subjek pengajaran di peringkat kanak-kanak tetapi golongan dewasa yang makin berminat mendalami al-Quran termasuk ilmu tarannum (lagu).

"Sekarang sudah ada pusat atau institusi pengajian al-Quran yang formal, pusat-pusat tahfiz malah sudah ramai yang mendalami ilmu tarannum di institusi-institusi swasta walaupun mereka terpaksa membayar untuk mempelajarinya," kata beliau.

Malah, manfaat awal daripada tilawah dapat dilihat melalui penubuhan Kelas Tahfiz al-Quran di Masjid Negara pada 1 Mac 1966. Ia kemudian berkembang dan dikenali sebagai Institut Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat yang seterusnya dikenali sebagai Darul Quran di Kuala Kubu Bahru, Selangor.

Wan Mohamad menambah, perkembangan itu adalah selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pengajaran al-Quran.

"Kini sebahagian daripada hasrat itu telah dicapai apabila Darul Quran turut menerima ramai pelajar dari negara jiran seperti Singapura, Brunei, Thailand dan Kemboja.

"Malah, negara Guinea di Afrika juga menyatakan hasrat menghantar pelajar mereka mendalami ilmu al-Quran di Darul Quran," jelasnya.

Wan Mohamad juga yakin masa depan tilawah al-Quran sebagai medium memperluas program pendidikan kitab suci itu di peringkat global amat cerah.

"Secara tidak kita sedari, rupa-rupanya penganjuran tilawah menjadi pemangkin kepada perkembangan pusat pengajaran al-Quran.

"Ia bukan hanya sekadar pertandingan," katanya yang juga Ketua Pengarah Jakim.

Bagi menambahkan seri majlis tilawah, ia tidak lengkap tanpa astaka. Sejak tahun 1960 (1379H) hingga sekarang, pelbagai bentuk astaka telah digunakan.

Pada awalnya, reka bentuk astaka tidak diberi perhatian yang terperinci kerana ia hanya untuk pada peserta memperdengarkan bacaan.

Kini, ia dibina mengikut tema, konsep serta ciri tertentu. Fungsinya bukan sahaja menempatkan para qari dan qariah tetapi juga menjadi pentas ucapan serta aktiviti sampingan seperti persembahan nasyid, pantomin dan penyampaian hadiah.

Sempena tilawah kali ini, turut diadakan pameran serta bazar menjual produk tempatan untuk memeriahkan lagi majlis.

Penonton di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur juga berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah melalui penyertaan dalam kuiz.

Kuiz itu diperkenalkan sejak empat tahun lalu. Ia terbahagi kepada dua iaitu soalan harian yang menawarkan enam hadiah manakala soalan terkumpul yang hadiahnya akan diumumkan kemudian.

Author: Unknown
•6:25 PM
SELEPAS beberapa kali diserang pelbagai jenis wabak, kini dunia bungkam dengan gabungan penyakit yang membentuk pandemik H1N1, selesema babi yang bermula di Mexico dan Amerika Syarikat, kini menyerang dunia menyebabkan beribu mangsa meninggal dunia. Semua orang risau, pelbagai langkah pencegahan dilakukan, ada yang dengan inisiatif tinggi, tidak kurang juga yang menganggap ia masalah remeh yang mustahil berlaku pada diri sendiri, sehingga apabila benar-benar diuji, barulah ada runtun di hati.

Sudah jelas dalam al-Quran dengan pelbagai peringatan kepada sesiapa yang kufur dan bermaksiat kepada Allah SWT. Balasan di dunia atau di akhirat tidaklah dapat dijangka, tetapi sebagai hamba lemah dan kerdil, semestinya kita sentiasa beringat dalam melakukan sesuatu perbuatan, bimbang jika menyalahi peraturanNya. Hari ini, kesilapan manusia dalam mengurus kehidupan dengan melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT seperti yang terakam di dalam al-Quran menyebabkan ada antara kita yang terpaksa menanggung akibatnya.

Apa juga bencana yang berlaku kepada alam, kemalangan, perbalahan, permusuhan, hatta serangan wabak penyakit adalah kerana melanggar hukum Allah dan tabiat alam yang sepatutnya dipertahankan sebaik-baiknya. Hari ini, wabak selesema babi yang menular dengan pantas dan meragut nyawa adalah sememangnya wabak yang mudah berjangkit melalui sentuhan secara langsung dengan babi atau pemindahan virus selesema babi kepada manusia. Walaupun umat Islam tidak memakan babi atau terbabit secara langsung dalam menguruskan penternakan babi, virus yang menjangkiti manusia daripada babi boleh menyebabkan jangkitan antara manusia yang dijangkiti dengan manusia lain.

Hal ini tentulah amat mendukacitakan kita, kerana sebagai umat Islam, kita akur dengan larangan Allah SWT yang mengharamkan kita memakan bangkai, darah dan daging babi untuk menyelamatkan kita daripada penyakit berpunca binatang berkenaan.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maaidah ayat 3 bermaksud: "Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan) kamu mengundi nasib dengan anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik."

Hakikat yang perlu diyakini ialah bahawa setiap yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT jua. Di dalam Surah Al-hadid ayat 22 Allah SWT berfirman yang mafhumnya: "Tiada suatu pun bencana yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab (Loh Mahfudz) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." Justeru, umat Islam haruslah memahami bahawa kuasa Allah SWT sahajalah yang menentukan sesuatu itu berlaku walaupun apa jua usaha yang dilakukan atau tidak diusahakan kerana kekuasaan Ilahi melebihi kuasa yang lainnya.

Sering kali kita merasa beruntung dan bertuah dengan rahmat yang direzekikan oleh Allah SWT kepada kita, yang kadangkala datangnya tanpa disangka. Sesekali pula ada musibah yang berlaku disebabkan oleh diri kita sendiri, lalu, jika kita berputus asa, tentulah kita merasa malu jika tidak bersangka baik dan menyerahkan segala urusan yang tidak mampu kita lakukan kepada pemilik segala kejadian ini.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Hebat dan amat mengagumkan sifat orang beriman, semua urusannya memberinya kebaikan, dan tiada perolehinya kecuali dia adalah mukmin, iaitu apabila ditimpa bahagia dia bersyukur, maka ia peroleh kebaikan (hasil syukurnya dia), dan apabila ia ditimpa keburukan, ia sabar dan baginya kebaikan juga." (Riwayat Muslim).

Yang boleh kita lakukan ialah yakin dan berdoa bahawa wabak yang melanda akan terhapus juga akhirnya dengan kuasa Allah SWT yang menjadikan sesuatu dengan sebab dan musababnya.
Author: Unknown
•2:24 PM

BULAN Rejab telah berlalu meninggalkan kita. Ini bermakna latihan peringkat pertama untuk memasuki gerbang Ramadan telah pun berlalu. Ada di antara kita yang telah berjaya melatih diri dengan melakukan ibadah puasa, qiamullail, membanyakkan istighfar, selawat, bacaan al-Quran dan sebagainya.

Bermacam-macam amalan kebaikan yang dihidangkan oleh Allah kepada hamba-Nya untuk dilakukan bagi mendekatkan diri kepada-Nya kerana Allah Maha Mengetahui hamba-Nya akan bosan jika melakukan satu amalan tertentu sahaja.

Namun, tidak semua kita yang prihatin dengan kedatangan saat yang penting dan mulia ini kerana keprihatinan terhadap dunia telah menguasai diri. Akibatnya, kita lebih peka dengan tarikh Mega Sale di pusat-pusat membeli belah sempena hari kemerdekaan dan hari raya daripada tarikh dan masa yang lebih penting dan bernilai dari dunia dan seisinya.

Oleh kerana itu, pakaian dan perhiasan lahiriah untuk menyambut hari raya telah kita rancang dengan sempurna tetapi pakaian dan perhiasan batiniah bagi menyambut Ramadan dan Hari Aidilfitri kita lupakan kerana penyakit cintakan dunia telah membarah di hati.

Hari ini, kita telah berada di dalam bulan Syaaban, antara bulan yang paling mulia dan dinanti-nantikan oleh insan-insan yang mempunyai mata hati. Ia juga adalah bulan yang masyhur dengan keberkatan dan kebaikan yang banyak.

Bertaubat pada bulan ini merupakan sebesar-besar kebaikan dan melakukan ketaatan pada bulan ini merupakan sebesar-besar perniagaan yang menguntungkan.

Allah menjamin bagi orang-orang yang bertaubat pada bulan Syaaban dengan keamanan. Orang yang menyediakan kesungguhan dan mujahadah pada bulan Syaaban bakal meraih kejayaan pada bulan Ramadan. Oleh kerana itulah bulan ini dinamakan Syaaban kerana terpecah daripadanya kebaikan yang banyak.

Hanya dengan rahmat dan kasih-sayang-Nya, kita diberi peluang untuk kesekian kalinya bersua dengan Syaaban yang menyimpan pelbagai keistimewaan.

Bagi memastikan kita dapat menghayati Syaaban dengan sebaiknya, kita seharusnya mengetahui apakah yang terdapat di dalam bulan Syaaban terutamanya peristiwa-peristiwa penting yang pernah berlaku di dalamnya.

Pertukaran Arah Kiblat

Antara peristiwa penting yang berlaku pada pada bulan Syaaban ialah peristiwa pertukaran kiblat dari Baitul Maqdis ke kaabah. Ia adalah saat yang amat diharapkan berlaku dan sememangnya telah lama ditunggu-tunggu oleh Rasulullah SAW.

Sebelum berlaku peristiwa ini, Baginda SAW bangun pada setiap malam menghadapkan mukanya ke langit menunggu-nunggu wahyu daripada Allah. Sehinggalah Allah mengurniakan dan merealisasikan permintaannya seperti dirakamkan di dalam al-Quran: Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkanlah mukamu ke arah Masjid al Haram (tempat letaknya kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. (al-Baqarah: 144).

Ini membenarkan firman Allah SWT: Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu sehingga Engkau reda - berpuas hati. (al-Dhuha: 5)

Abu Hatim al-Busti berkata: Orang-orang Islam solat mengadap ke Bait al Maqdis selama 17 bulan 3 hari. Rasulullah datang ke Madinah pada hari Isnin 12 Rabiulawal dan Allah memerintahkan mengadap ke Kaabah pada hari Selasa 15 Syaaban.

Diangkat Amalan

Di antara keistimewaan Syaaban yang masyhur ialah diangkat amalan hamba-hamba-Nya pada bulan ini. Ini merupakan pengangkatan amalan yang terbesar.

Oleh kerana itu, ketika Usamah ibn Zaid r.a bertanya kepada Rasulullah SAW tentang sebab kesungguhan Baginda SAW berpuasa pada bulan Syaaban, Baginda SAW menjawab: "Ia adalah bulan yang sering dialpakan oleh manusia, di antara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan diangkat segala amalan kepada Tuhan semesta alam. Saya suka amalan saya diangkat ketika saya berpuasa". (riwayat al-Munziri)

Ditentukan Umur

Pada bulan Syaaban juga ditentukan segala umur, iaitu dizahirkan takdir tersebut. Namun perbuatan Allah itu tidak terikat dengan masa atau pun tempat. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah mencatat pada bulan Syaaban bagi setiap jiwa yang akan mati pada tahun tersebut. Maka aku suka ajalku datang kepadaku ketika aku sedang berpuasa". (riwayat Abu Ya'la).

Oleh yang demikian, Rasulullah SAW paling banyak berpuasa pada bulan Sy kerana itu, Syaaban adalah bulan berselawat ke atas Nabi SAW.

Terlalu banyak kelebihan berselawat ke atas Nabi SAW dan ia adalah ibadat yang paling afdal dari ibadat-ibadat yang lain. Kita sendiri dapat memikirkannya kerana amalan lain Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya melakukannya tetapi amalan selawat Allah berselawat ke atas Baginda SAW terlebih dahulu, kemudian barulah Allah menyuruh hamba-hamba-Nya berselawat ke atas Baginda SAW.

Syaaban Bulan Al-Quran

Syaaban juga disebut sebagai bulan al-Quran. Kita sedia maklum, membaca al-Quran dituntut pada setiap masa tetapi ia lebih dituntut pada masa-masa yang berkat dan mulia seperti bulan Ramadan, Syaaban dan bulan-bulan mulia yang lain.

Oleh kerana itu, Anas meriwayatkan dengan sanad yang daif bahawa apabila masuk bulan Syaaban, kaum Muslimin menumpukan kepada mushaf-mushaf mereka dan membacanya, mengeluarkan zakat harta mereka untuk memberi kekuatan kepada orang yang lemah dan miskin menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.

Selain itu juga, kita digalakkan merebut peluang kedatangan Syaaban dengan membanyakkan menyebut kalimah syahadah: Laa ilaha Illa Allah Muhammad Rasulullah dan istighfar.

Ini adalah pintu memasuki Islam dan tangga memelihara iman dan mikraj hati serta roh kepada Tuhan Pemilik seluruh alam. Ia juga adalah sebesar-besar kebaikan bagi memperbaharui keimanan dan menghapuskan kejahatan sehingga menarik pemiliknya memasuki syurga. Istighfar dapat menghapuskan dosa-dosa, kesulitan dan meringankan bebanan.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang melazimi istighfar, Allah menjadikan baginya dari setiap kemurungan pelepasan, dari setiap kesempitan jalan keluar dan dikurniakan rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka". (riwayat Abu Daud, al-Nasaei, Ibnu Majah dan al-Hakim).

Demikianlah istimewanya Syaaban. Semoga kita dapat merasai kebesaran Syaaban dan melihat kurniaan Allah padanya dengan penuh insaf, beradab dan kesyukuran.

Orang yang bijak ialah orang yang menggunakan sebaiknya kesempatan yang diberikan dan orang yang bodoh ialah orang yang menangguhkan kesempatan yang diberikan kerana menyangka esok masih ada untuknya.