Author: Unknown
•10:40 AM

Isu sebat sepatutnya tidak dibesar-besarkan. Bahkan penjelasan mengenainya telah pun dibincangkan melalui satu seminar yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada April lalu berhubung Hukuman Sebat Jenayah Syariah.

"Jika dibuat perbandingan di antara sebat syariah dan sebat sivil, kesimpulannya, sebat sivil itu lagi kejam," demikian kata pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jasri Jamal.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu hukuman sebat terhadap Dewi Sari Kartika Shukarno yang dijatuhi hukuman sebat oleh Mahkamah Syariah Negeri Pahang kerana meminum arak di khalayak ramai, baru-baru ini.

Ujar Jasri, Islam itu agama yang indah dan sebat yang termaktub di dalam hukum syariah pula mempunyai banyak hikmah di sebaliknya.

Oleh itu mengapa ia harus dipertikaikan oleh banyak pihak. Walhal dari sudut perundangan, apa sahaja yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah, tiada pihak yang boleh mempertikai apatah lagi pihak yang berada di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Beliau menggesa supaya diberi ruang kepada Mahkamah Syariah untuk membuat semakan di atas keputusan yang telah diputuskan.

"Sebagai ahli akademik, kes pertama ini dilihat sebagai kes teladan atau rujukan yang boleh dilihat sekiranya berlaku kes yang seumpamanya pada masa hadapan.

"Tetapi apabila kes ini 'dikacau' oleh pihak-pihak yang tidak sepatutnya bersuara, maka hukuman ke atas Kartika tergendala," jelasnya.


Kaedah Sebat

Sementara itu kekecohan kaedah sebat yang menjadi bualan masyarakat yang mempersepsikan kaedah tersebut menyerupai kaedah sebat sivil, ia harus diperbetulkan.

Menurut Dr. Jasri, kekeliruan ini berlaku mungkin disebabkan ia menjadi kes pertama.

Ditambah pula selama ini, demonstrasi sebat yang diadakan di tempat-tempat awam hanya menunjukkan kaedah sebat sivil.

Justeru sudah tiba masanya, kaedah sebat syariah dipertontonkan kepada masyarakat supaya salah faham ini boleh diperbetulkan.

Dalam pada itu memetik kertas kerja yang bertajuk, 'Peranan Institusi Penjara Dalam Pelaksanaan Hukuman Sebat Bagi Kes Jenayah Syariah:Satu Pandangan' oleh Timbalan Penguasa Penjara, Jabatan Penjara Malaysia, Masran Muhammad, dalam seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah, menjelaskan, daripada aspek pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah jenayah syariah, Jabatan Penjara tidak mengalami sebarang masalah kerana semua bentuk hukuman sebat telah diajar kepada Pegawai Sebat Rotan.

Di samping itu apabila terdapat hukuman yang melibatkan sebatan rotan di bawah Enakmen Tatacara Jenayah ia akan dirujuk kepada Bahagian Keselamatan, Ibu Pejabat Malaysia agar tiada sebarang kesilapan semasa pelaksanaan.

"Jabatan Penjara Malaysia perlu mengambil langkah yang lebih berhati-hati dalam melaksanakan hukuman sebat di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah kerana ia melibatkan tatacara yang berbeza di antara sebuah negeri dengan negeri yang lain," katanya.

Dalam pada itu, Masran menjelaskan, Jabatan Penjara Malaysia telah melaksanakan hukuman sebat rotan terhadap pesalah-pesalah yang disabitkan dengan hukuman tersebut yang terdiri dari berbagai-bagai kategori seperti berikut:

  • Jenayah
  • Jenayah Syariah
  • Pecah Amanah (CBT)

  • Juvana

  • Pesalah tatatertib penjara

Menurut Masran, secara purata pada setiap tahun selepas tahun 2005 sejumlah 775 pesalah telah dilaksanakan hukuman sebat rotan (1,700 sebatan setiap tahun secara purata).

Justeru, merujuk kes Kartika Dewi Sari, ia sepatutnya tidak menimbulkan sebarang kekecohan apatah lagi, sebatan syariah sama sekali jauh berbeza dengan sebatan sivil.

Bahkan menurut Dr. Jasri, ia boleh diibaratkan antara langit dan bumi.

Oleh itu mengapa perlu gusar sekiranya hukuman sebat syariah perlu dilaksanakan.

Author: Unknown
•10:36 AM

SOALAN:
Ayah mertua saya seorang Kristian dan dia tinggal bersama saya dan isteri (anak angkat). Apabila dia meninggal dunia tempoh hari, saya telah bertanya kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sarawak mengenai perkara yang patut saya buat.

Kata mereka, saya boleh uruskan asalkan tidak mengikut cara penganut Kristian mengurus mayat. Mayat berada di rumah selama dua malam disebab kekurangan kakitangan pihak gereja untuk menguruskan pengkebumian pada hari berikutnya.

Malam sebelum upacara pengkebumian diadakan upacara menghormati jenazah (ini merupakan upacara yang mesti mereka laksanakan mengikut adat Iban dengan berwakilkan beberapa orang yang tahu latar belakang si mati dengan mengimbas kembali segala kebaikan yang telah si mati lakukan semasa hidupnya).

Ini semuanya dilakukan di rumah kami. Saya telah mendapat bantuan rakan Kristian membantu pengurusan mayat tapi segala perbelanjaan adalah ditanggung oleh kami.

Sembahyang mayat dilakukan di sebuah gereja yang berhampiran kemudian terus ke tanah perkuburan. Masalah mulai timbul apabila saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak berkuasa agama mengenai pemasangan lilin dan meletakkan jambak bunga di pusara si mati. Mereka memberitahu saya ia haram, si mati hanya mempunyai isteri saya sahaja yang tinggal sanak saudara isteri semuanya menjauhkan diri dan abang angkat isteri memang tidak ingin mempunyai hubungan dengan si mati.

Demi perikemanusiaan saya isteri tetap juga menziarahi kubur si mati pada masa-masa tertentu. Apakah pendapat ustaz tentang kemusykilan yang saya hadapi ini?


JAWAPAN:

Dalam Islam kita sangat dituntut menghormati antara satu dengan yang lain, lebih-lebih lagi agama Islam adalah agama rahmat, pastinya setiap orang yang bergaul dengan kita beroleh kebaikan dari limpahan rahmat agama Islam itu sendiri.

Melalui apa yang saudara ceritakan, saya percaya tindakan saudara tidak melanggar syariat Allah SWT. Sebelum bertindak saudara telah pun mendapatkan pandangan dari Jakim Sarawak dalam mendapatkan penjelasan apa yang boleh dibuat dan apa yang perlu dielak.

Berdasarkan kepada panduan, saudara telah menguruskan jenazah ayah mertua mengikut cara orang Kristian dan diuruskan sendiri oleh orang Kristian. Tidak ramai yang memahami cabaran yang dihadapi oleh saudara beserta ahli keluarga Islam yang lain. Lebih-lebih lagi bila ahli keluarga kita masih beragama selain Islam.

Biarpun kita telah mendapat hidayah menganut agama Islam, ini tidak bererti kita telah putus perhubungan anak-beranak atau adik-beradik. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (al-'Ankabut: 8).

Dalam konteks ayat ini, Allah SWT memerintahkan seseorang yang telah menganut Islam supaya berbuat baik kepada ibu bapa mereka selagi mereka tidak menyuruh melakukan perbuatan syirik kepada Allah SWT.

Bagi saya, menguruskan jenazah ibu bapa yang tidak beragama Islam juga merupakan tanggungjawab serta penghormatan seorang anak kepada kedua ibu bapanya.

Apatah lagi, Islam melalui al-Quran dan pedoman rasul-Nya sangat menuntut kita berakhlak mulia dengan setiap manusia. Dalam sirah kehidupan Baginda, Rasulullah juga berbuat baik kepada bapa saudaranya Abu Talib, baginda juga mendampinginya ketika nazak sambil mengajak Abu Talib kepada Islam.

Hadis lain yang menggambarkan kewajipan berihsan dan melayan baik kedua-dua orang tua meskipun berlainan agama ialah yang diriwayatkan daripada Asma' Abu Bakar r.a. maksudnya: Pada zaman Rasulullah SAW ibuku yang masih musyrik suatu hari datang mengunjungiku. Lalu aku meminta fatwa daripada Rasulullah: "(Ibuku datang) dalam keadaan senang hati, apakah aku masih perlu meneruskan hubunganku dengan ibuku?" Baginda SAW bersabda: "Ya, teruskanlah hubunganmu dengan ibumu (seperti biasa)". (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan dalil-dalil ini, seseorang anak perlu meneruskan hubungan yang baik dengan ibu bapa yang bukan Islam sungguhpun anak dan ibu bapa berlainan agama.

Oleh itu, apabila berbicara dengan mereka, si anak hendaklah berbicara dengan lemah lembut, penuh sopan santun dan menunjukkan rasa mahabbah. Apabila memanggil mereka, panggillah dengan perkataan yang menyedapkan hati mereka.

Berilah mereka petunjuk pada perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan seperti mana panduan Islam dalam bab ini.


Sudut Kemanusiaan

Kita tidak mahu Islam dituduh sebagai agama yang memisahkan hubungan anak-beranak atau adik beradik. Kita harus tonjolkan bahawa Islam tidak membenci penganut agama lain malahan dari sudut kemanusiaan kita adalah sama biarpun yang memisahkan kita ialah pegangan hidup.

Firman Allah SWT dalam surah al-Kafirun bermaksud: Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku. (al-Kafirun: 6)

Apa yang penting dalam kita bergaul dengan saudara mara, kenalan dan sahabat handai ialah kita tidak menyembah apa yang dia sembah serta mengelakkan perkara-perkara yang melibatkan hal-hal yang bertentangan dengan ajaran agama Islam terutamanya dalam bab akidah.

Persoalan meletakkan bunga di pusara bapa mertua dan hukum berkaitan dengannya; adalah lebih baik jika saudara tidak melakukan upacara membakar lilin dan meletakkan bunga di kubur mereka yang bukan Islam biarpun di kubur ibu atau ayah sendiri.

Walaupun dari segi zahirnya tidak kelihatan apa-apa yang bertentangan dengan Islam tetapi ia juga boleh membawa fitnah dari sudut kaitannya dengan budaya agama lain atau upacara etnik tertentu yang boleh mengelirukan status Muslim saudara.

Ziarah kubur ayah mertua yang bukan Islam tidak salah, hanya sekadar ziarah dan bukan melakukan acara-acara ritual keagamaan yang lain terutama yang boleh dikaitkan secara khas dengan ajaran agama tertentu selain agama Islam.

Author: Unknown
•10:33 AM

Soalan 1:
Adakah seorang anak boleh memberikan zakat kepada ibu dan bapanya? Begitu juga, adakah seorang bapa atau ibu boleh memberikan zakat kepada anak-anaknya?

Jawapan:

Di dalam perbincangan mengenai siapakah yang layak menerima zakat, maka ulama fikah telah menyenaraikan bahawa mereka yang termasuk ke dalam tanggungan wajib di sisi syarak, adalah tidak dibenarkan menerima zakat.

Ia termasuklah ibu bapa, datuk, nenek, anak, cucu, cicit dan seterusnya. Ini kerana orang yang mempunyai talian nasab keturunan seperti ibu bapa dan anak-anak, memang menjadi kewajipan kepada ahli mereka untuk diberikan kecukupan dalam kehidupan.

Seandainya tidak diberikan kecukupan dengan sengaja, maka boleh jatuh kepada dosa pula.

Maka, seseorang yang mahu berzakat hendaklah memenuhi keperluan tanggungan wajib dan seandainya keperluan mereka sudah dipenuhi, barulah dikirakan zakat ke atas harta yang masih dimilikinya.

Keutamaan menafkahkan harta adalah seperti mana yang difirmankan Allah SWT: Mereka bertanya tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: Apa sahaja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan. Dan apa sahaja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya. (al-Baqarah: 215)


Soalan 2:

Saya baru mendapat kesedaran untuk menunaikan zakat pendapatan yang tidak pernah saya tunaikan pada tahun-tahun sebelum ini. Jadi, apakah hukum menunaikan zakat yang lepas-lepas dan apakah yang patut saya lakukan?

Jawapan:

Apabila pintu hati baru terbuka, itu maknanya hidayah Allah SWT sudah mengunjungi diri saudara. Bersyukurlah.

Sesungguhnya, hukum menunaikan zakat yang telah lepas waktunya itu, sedangkan semua syarat wajib zakat sudah cukup pada diri kita, maka hukumnya adalah wajib. Ia dinamakan 'qada zakat.'

Author: Unknown
•9:30 AM
SHARIFAH NOR dan Mohd. Faizal menunjukkan sejadah yang didakwa berdiri di rumahnya di Kampung Tok Sangkut, Repek, Pasir Mas semalam.


PASIR MAS - Percaya atau tidak, sehelai sejadah bergerak dan berdiri secara tiba-tiba hingga menggemparkan seisi rumah warga emas, Sharifah Nor Syed Agil, 61, di Kampung Tok Sangkut, Repek di sini pagi kelmarin.

Mereka mendakwa, bentuk sejadah itu ketika berdiri kelihatan seolah-olah seperti seorang lelaki atau wanita yang sedang menunaikan sembahyang dan berada dalam keadaan duduk di antara dua sujud.

Kejadian misteri itu berlaku kira-kira hampir lapan jam sehingga mengundang ramai penduduk kampung ke rumah tersebut untuk menyaksikan keajaiban sejadah itu yang dikatakan berdiri tanpa bantuan sesiapa.

Namun, kejadian pelik itu berakhir apabila sejadah itu kembali menyembah lantai setelah seorang tetamu yang hadir menyentuhnya meskipun telah dilarang.

Menurut Sharifah Nor, kejadian pelik itu disedari oleh anaknya, Mohd. Faizal Mohd. Zin, 27, yang kebetulan baru saja terjaga daripada tidur di ruang tamu rumah pukul 8.30 pagi ketika dia sedang sibuk membuka kedai runcitnya.

Menyedari sejadah milik ibunya sedang berdiri, perasaan takut mula menyelubungi Mohd. Faizal dan terus memanggil ibunya yang berada di kedai untuk memaklumkan keadaan tersebut.



Author: Unknown
•4:23 PM
Menurut banyak riwayat hadis, apabila 1 Ramadhan jatuh pada hari Sabtu, malam Lailatul Qadar jatuh pada malam 23 Ramadhan. Pada tahun ini, malam 23 Ramadhan jatuh pada tanggal 12 September 2009, bersamaan hari Sabtu malam Ahad.

Di sini, saya ingin berkongsi cerita berkenaan malam Lailatul Qadar. Untuk pengetahuan semua, pada malam 23 Ramadhan yang lalu, telah berlaku hujan yang dianggap bukan hujan biasa. Hujan tersebut berlaku sekejap sahaja. Ia berlaku kira-kira pada jam 3 pagi. Hari Ahad. Menurut beberapa pandangan, ia merupakan salah satu tanda malam Lailatul Qadar. Ramai yang beranggapan dan menyedari malam Lailatul Qadar pada tahun ini jatuh pada malam 23 ramadhan. Beruntunglah bagi sesiapa yang beribadah pada malam tersebut. Alhamdulillah, saya berkesempatan bangun qiamullail pada malam tersebut.

Walau bagaimanapun, teruskanlah usaha anda untuk meneruskan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadhan ini. Barangsiapa yang berusaha mencari malam lailatul Qadar, Allah akan ampunkan segala dosa-dosanya.

Wallahu 'a'lam.
Author: Unknown
•10:22 AM

KITA sudah pun berada dalam sepuluh hari-hari terakhir Ramadan yang dirindui oleh para kekasih Allah SWT. Ini bererti kita sudah memasuki sepertiga terakhir Ramadan yang menandakan Ramadan akan melambaikan salam perpisahannya dalam beberapa hari yang pendek.

Hari-hari ini dirasakan pendek oleh para Solehin kerana mereka begitu yakin dengan ketinggian nilai dan keistimewaan hari-hari ini yang menyebabkan mereka seolah-olah merasa tidak mencukupi dengan saki-baki minit dan jam yang ada.

Begitu banyak amal bakti yang belum sempurna dipersembahkan ke hadrat ilahi. Masih banyak bukti pengabdian yang belum sempurna dipersembahkan ke hadapan-Nya.

Di suatu sudut lain, sebahagian orang pula merasakan hari-hari ini begitu pendek kerana pelbagai kesibukan duniawi apabila mengenangkan Hari Raya yang menjelang tiba.

Pelbagai persiapan pakaian, rumah dan juadah yang hendak disempurnakan. Masih banyak urusan kerja dan perniagaan berkaitan Ramadan dan Aidil Fitri yang belum selesai.

Jika tidak berwaspada, sinar hari-hari terakhir Ramadan ini mudah pudar dan tenggelam dalam keriuhan ambang Syawal sedangkan sepertiga terakhir Ramadan inilah merupakan peringkat terpenting dalam madrasah Ramadan yang sedang kita lalui ini.

Keutamaan Malam Lailatul Qadar

Keutamaan utama hari-hari terakhir Ramadan ini berputar sekitar pemburuan mendapatkan keutamaan lailatul qadar.

Satu malam gilang-gemilang yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Malam yang begitu agung dalam kerajaan langit sehingga diabadikan dalam suatu surah al-Quran yang khusus untuk mengisytiharkan keistimewaannya iaitu surah al-Qadr.

Bagi mereka yang sentiasa menjadikan urusan amal ibadah sebagai tumpuan perhatian dan kebimbangan mereka, inilah satu tawaran istimewa daripada Allah SWT yang 'haram' dilepaskan.

Sangat malanglah bagi seorang hamba yang dikurniakan hadiah begitu berharga daripada Tuhannya sendiri tetapi tidak mengendahkannya atau tidak menerimanya dengan baik.

Benarlah pesan Rasulullah SAW bahawa, "Sesiapa yang diharamkan mendapat kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah diharamkan. (daripada mendapat segala kebaikan)".

Memang lailatul qadar adalah suatu hadiah atau anugerah bagi umat ini. Para ulama meriwayatkan pelbagai riwayat bagaimana lailatul qadar dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana mengambil kira jangka hayat umat ini yang jauh lebih pendek berbanding umur umat sebahagian nabi-nabi terdahulu.

Dengan beramal-ibadah pada malam ini barulah boleh kita menyaingi kuantiti ibadah umat-umat yang dikurniakan umur yang jauh lebih panjang.

Harus diinsafi bahawa sebagai suatu urusan ibadah, kelebihan utama lailatul qadar bukan terbatas kepada sifir 1,000 bulan yang begitu sinonim dengan malam tersebut.

Dalam mana-mana urusan ibadah nilai utama sesuatu amalan tetap tergantung kepada rahmat dan kasih Tuhan yang menjadi tumpuan sesuatu amalan tersebut.

Oleh itu memburu lailatul qadar bukan bererti kita sekadar mengejar gandaan seribu bulan itu tetapi yang lebih penting, berusaha mencarinya bererti kita bersungguh-sungguh untuk menyambut dan meraikan suatu bukti kasih dan rahmat Allah SWT kepada kita.

Mendapatkan Malam Lailatul Qadar

Sesuai sebagai anugerah yang begitu bernilai dan berharga, lailatul qadar tidaklah sampai begitu mudah diperolehi oleh sesiapa sahaja tanpa perlu berusaha.

Walaupun kita mewarisi pelbagai panduan dan petua daripada Rasulullah SAW sendiri dan para ulama pewaris Baginda SAW tentang mengenalpasti malam lailatul qadar, masih tidak ada satu kesepakatan tentang bilakah sebenarnya jatuhnya malam itu.

Akhirnya, bolehlah disimpulkan bahawa peluang untuk mendapatkannya adalah lebih cerah bagi mereka yang menghidupkan malam-malam yang ganjil dari 10 malam yang terakhir, sangat cerah bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam terakhir dan paling terjamin bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam-malam Ramadan.

Juga harus diingat, para ulama turut berpandangan bahawa siangnya lailatul qadar juga perlu diisi dengan amal ibadah sama seperti malamnya.

Sesuai sebagai tanda rahmat dan pemberian Tuhan, lailatul qadar tidaklah pula terlalu sukar dan terlalu jauh dari capaian kita. Ia ditentukan jatuh di dalam bulan Ramadan.

Bulan Ramadan adalah bulan ibadah umat ini yang mana rata-ratanya malam-malam Ramadan adalah malam-malam yang lebih baik pengisian ibadahnya bagi kita semua.

Walaupun sebahagian ulama berpandangan bahawa kelebihan lailatul qadar dicapai dengan menghidupkan sebahagian besar malam itu, sebahagian ulama meriwayatkan bahawa untuk syarat minimum untuk mendapatkan sebahagian laba malam ini bukannya terlalu sukar.

Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatto' misalnya, meriwayatkan pandangan Ibnul Musayyib bahawa, "Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak pada malam lailatul qadar secara berjemaah, maka sesungguhnya dia telah mendapat laba / bahagian daripadanya (lailatul qadar)".

Pandangan-pandangan yang lebih ringan ini meletakkan syarat mendapatkan lailatul qadar pada menjaga solat-solat fardu pada malam tersebut.

Jika pandangan ini yang kita ambil nescaya mendapatkan lailatul qadar bukannya terlalu sukar dan boleh diusahakan oleh semua orang. Tetapi Tuhan itu Maha Adil, hakikatnya, mereka yang biasa lalai tetap akan lalai dan gagal hatta untuk menjaga solat-solat fardu ini walaupun di malam-malam akhir Ramadan.

Semoga Allah menjauhkan diri kita dan mereka yang bersama kita daripada tergolong dalam golongan yang lalai.

Zikir dan doa yang diajarkan oleh nabi SAW untuk lailatul qadar juga cukup pendek mampu diamalkan oleh semua orang. Maka marilah kita memperbanyakkan doa ini di hari-hari ini, Allahumma innaka 'Afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu 'nniy yang maksudnya, "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun , sukakan keampunan maka ampunilah aku".

Walaupun pintu untuk kita menghayati lailatul qadar melalui ibadah khusus lebih terbuka di bulan Ramadan dengan budaya dan suasananya yang tersendiri, ini tidak menafikan hakikat luasnya makna dan bentuk ibadah dalam Islam.

Mereka yang terpaksa menyelesaikan tugasan dan kerja mereka yang tidak bercanggah dengan agama dan dalam kadar yang sesuai dengan bulan Ramadan ini, tetap boleh meniatkan kerja-kerja mereka sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk mendapatkan dan menghayati lailatul qadar.

Berakhirnya Ramadhan

Ramadan, tetamu agung yang setia datang berkunjung setiap tahun tetap akan pergi meninggalkan kita sedikit masa lagi.

Mereka yang benar-benar menghayati dan mendapat faedah dari kedatangan Ramadan dengan menikmati kemanisan iman dan peningkatan takwa yang datang bersamanya sudah tentu menghadapi saat-saat perpisahan ini dengan penuh kesedihan berbaur kebimbangan dan pengharapan.

Sedih mengenangkan perpisahan dengan bulan yang dikasihi ini. Bimbang adakah amalan diterima dengan tahap penghayatan yang tidak seberapa. Berharap agar dosa-dosa diampunkan, dikembalikan kepada fitrah serta berharap agar bertemu lagi dengan Ramadan yang akan datang.

Inilah sikap yang diriwayatkan daripada sebahagian para salaf. Mereka berdoa kepada Allah SWT selama enam bulan agar dipertemukan dengan Ramadan. Setelah itu mereka berdoa pula selam enam bulan berikutnya agar Allah SWT menerima amalan mereka di bulan Ramadan yang berlalu.

Semoga Allah mengurniakan kita himmah yang tinggi dalam beragama seumpama mereka. Marilah kita menghantar pulang Ramadan kali ini hingga ke 'hujung desa'. Ibarat menjamah juadah yang paling kita gemari, janganlah kita tinggalkan Ramadan kali ini bersisa sedikitpun.

Ibarat suatu perlumbaan marathon yang kita sertai, apalah gunanya kita hebat di peringkat awal larian hanya untuk lemah-lesu ketika menuju garisan penamat. Marilah kita rebut setiap ketika yang berbaki di bulan Ramadan kali ini dan mengisinya dengan sebaik mungkin.

Sesungguhnya La hawla wala quwwata illa billah al-'Aliyyil 'Adzim yang maksudnya, "Tiada daya (menghindari maksiat) dan tiada kekuatan (melakukan ketaatan) melainkan dengan izin Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung".

Author: Unknown
•10:19 AM

''APABILA memasuki 10 hari terakhir dalam bulan Ramadan, Rasulullah SAW selalu menghidupkan malam, membangunkan keluarga dan mengetatkan ikat pinggangnya.''

Hadis daripada Siti Aisyah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim itu memberi isyarat tentang adanya sunnah Rasullullah yang khusus dalam menghadapi sepuluh hari terakhir bulan suci Ramadan.

Pada hari-hari itu, Rasullullah biasa menghidupkan malam dan mengisinya dengan berbagai macam kegiatan ibadah yang menunjukkan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT. Rasullullah juga mengajak isteri dan keluarganya serta para sahabat untuk melakukan kegiatan yang sama. Inilah yang disebut dengan kegiatan Iktikaf Asyrul - Awahir.

Iktikaf, seperti dijelaskan di dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 187, adalah berdiam diri di masjid melakukan kegiatan ibadah dan taqarrub kepada Allah SWT. Selain itu, dalam beriktikaf, kita diharapkan melakukan kegiatan muhasabah terhadap perkara-perkara yang lalu.

Melalui cara itu kita akan melihat kekurangan dan kelemahan diri, untuk kemudian berusaha memperbaikinya diri, meningkatkan kualiti keimanan dan ketakwaan, memperbaiki hubungan dengan Allah SWT mahupun dengan sesama manusia.

Dalam beriktikaf, kita akan menjalankan kegiatan taqarrub seperti berdoa, bertasbih, bertahmid, bertakbir, tahlil, istighfar, membaca dan memahami ayat-ayat al-Quran. Kita juga dianjurkan untuk mempelajari sunnah Rasullullah, menunaikan solat sunat seperti tahajud, taubat, hajat atau mendengarkan ceramah dan tazkirah.

Dalam beriktikaf kita boleh melakukan kegiatan-kegiatan tambahan yang memperkuat kesedaran diri kepada Allah SWT mahupun kepada sesama manusia.

Author: Unknown
•10:09 AM

Soalan 1:
SAYA difahamkan bahawa zakat fitrah diwajibkan keatas setiap muslim dengan makanan asasi. Soalannya, kenapa di Malaysia ia ditukar kepada nilai wang?

Jawapan:

Mengikut ketetapan asal, zakat fitrah ditunaikan sama ada menggunakan tamar kering atau basah, gandum dan biji-bijian.

Imam Syafie dan Maliki berpendapat, zakat fitrah hendaklak dikeluarkan berdasarkan makanan asasi sesebuah negara. Sebuah hadis riwayat oleh Imam Ahmad dan Abu Daud dari Tsalabah bin Abu Saghir boleh dijadikan sandaran: "Bayarlah zakat fitrah satu sha' gandum atau bur daripada setiap manusia (muslim), anak-anak atau orang dewasa, merdeka atau hamba sahaya, kaya atau fakir, lelaki atau perempuan".

Walau bagaimanapun, fuqaha berbeza pendapat mengenai keharusan mengeluarkan zakat fitrah dengan harga (wang) dan bukannya harta (makanan).

Imam Abu Hanifah dan at-Tsuri memetik pendapat daripada Umar bin Abdul Aziz r.a bahawa dibolehkan mengeluarkan zakat dengan harga (wang) dan pendapat ini turut disokong oleh Hassan Basri.

Memandangkan penggunaan wang lebih sesuai pada hari ini, maka ia lebih diraikan demi kemaslahatan ummah dan inilah tujuan zakat fitrah, iaitu mencukupkan orang-orang miskin pada hari raya jangan sampai meminta-minta (riwayat Imam Baihaqi). Wallahu A'lam.


Soalan 2:

Adakah benar pahala orang yang berpuasa tetapi tidak menunaikan zakat fitrah maka ia akan digantung (tidak diterima) oleh Allah swt?

Jawapan:

Memang terdapat sebuah hadis mengenai persoalan ini, iaitu: "(Ibadah) bulan Ramadan digantungkan antara langit dan bumi dan tidak diangkat kepada Allah kecuali dengan zakat fitrah". (riwayat Ibn Asakir).

Walau bagaimanapun, ulama hadis mempertikaikan kesahihan hadis ini, lantaran ada di antara perawinya yang tidak dikenali (majhul) dan ia juga bercanggah dengan mafhum hadis lain mengenai keutamaan beribadah khususnya di bulan Ramadan.

Sebenarnya setiap muslim wajib menyedari, ibadah yang wajib dan difardukan di sisi Islam, sama ada solat, puasa, zakat dan haji, masing-masing mempunyai tatacara penunaiannya yang tersendiri.

Apabila ia ditunaikan berpandukan syarat-syarat dan rukunnya, maka sahlah ibadat tersebut. Sama ada diterima atau tidak oleh Allah SWT, maka ia adalah hak Allah swt sendiri yang menentukannya.

Oleh itu, pandangan bahawa 'pahala puasa tergantung' hanyalah merupakan suatu penegasan agar kita benar-benar menghayati ibadah yang sepatutnya dipersembahkan kepada Allah dalam pakej yang sempurna.

Ibarat orang mahu meminang, maka mestilah lengkap segalanya baharulah beradab dan wajar diterima. Maka, apatah lagi ibadah puasa, wajib dijaga kesempurnaannya dengan diakhiri menunaikan zakat fitrah. Wallahu A'lam.