KINI satu sidang kemuncak mengenai perubahan iklim sedang berlangsung di Copenhagen, Denmark yang menghimpunkan para pemimpin dari seluruh dunia. Persidangan tersebut merupakan satu usaha pada peringkat global bagi membincangkan isu perubahan iklim dunia serta penyelesaiannya melalui perjanjian permuafakatan.
Sebagai seorang Muslim kita boleh mengambil iktibar daripada isu semasa ini untuk merenung kembali akhlak kita terhadap alam sekitar dan bagaimanakah alam sekitar berubah lalu menimbulkan kesan terhadap kita kembali.
Dalam surah ar-Ruum, ayat 41, Allah mengingatkan kita bahawa bencana yang timbul di muka bumi ini adalah akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri. Fenomena cuaca ekstrem seperti kemarau, ribut taufan, banjir yang sering berlaku kini merupakan antara kesan aktiviti manusia selama ini, sebagaimana maksud ayat tersebut.
Malah, melalui kajian saintifik, sememangnya terdapat kaitan langsung antara aktiviti manusia dengan perubahan iklim dunia masa kini. Manusia dan alam sekitar membentuk ekosistem di muka bumi ini dan sebarang aktiviti manusia yang menjejaskan alam akan turut menjejaskan kualiti kehidupan manusia itu sendiri di kemudian hari.
Apabila manusia membuang sampah ke dalam sungai maka sungai yang tercemar tidak lagi dapat membekalkan air bersih kepada manusia. Air merupakan keperluan bagi manusia maka tanpa bekalan air bersih manusia juga yang bakal merana.
Kejadian hujan berterusan dan banjir di Jeddah yang julung-julung kali berlaku pada musim haji, baru-baru ini juga seharusnya menjadi cetusan dan peringatan buat umat Islam tentang dampak yang bakal tercetus akibat ketirisan akhlak terhadap alam sekitar.
Pedoman al-Quran dan hadis membentuk sistem nilai dan akhlak buat umat Islam itu sendiri dalam proses pembangunan umat. Berakhlak mulia tidak sahaja antara sesama manusia, tetapi juga terhadap alam sekitar.
Alam sekitar yang sejahtera bukan hanya untuk dinikmati oleh generasi hari ini, tetapi juga buat anak cucu kita serta generasi akan datang. Adakah kita suka untuk dipersalahkan oleh mereka kerana kebobrokan alam yang diwarisi sebagaimana kita tidak menyukai kerosakan alam oleh generasi terdahulu?
Bencana iklim melanda tidak kira siapa, sama ada umat Islam atau tidak, sama ada yang bersalah atau tidak. Pokok pangkalnya masing-masing perlu memainkan peranan. Andai kita menjaga alam sekitar, kita juga perlu mengajak dan mendidik insan lain melakukan perkara yang sama.
Pemantauan Melalui Teknologi
Ilmu sains dan teknologi dapat membantu menghasilkan kajian yang berguna ke arah pembangunan yang mampan. Kualiti alam sekitar dapat diukur melalui teknologi, begitu juga barangan pengguna yang mesra alam dapat dicipta melalui teknologi.
Teknologi juga boleh digunakan untuk melakukan pemantauan terhadap sebarang aktiviti manusia yang mengancam kesejahteraan alam. Umpamanya di Malaysia, aktiviti pembalakan haram di kawasan hutan simpan mungkin dapat dipantau secara lebih berkesan melalui teknologi pengesanan jarak jauh (remote sensing).
Melalui penggunaan teknologi sedemikian, perubahan warna pada peta kawasan hutan pada masa nyata dapat dikenal pasti. Kawasan hutan yang asalnya serba hijau mungkin berubah kepada tompok cerah disebabkan terdapatnya pepohon yang ditebang lalu mendedahkan kawasan tanah-tanih.
Di samping itu, akta, polisi dan juga piawaian yang lebih ketat boleh digubal dalam usaha menetapkan tahap kesejahteraan alam yang lebih baik. Namun perkara ini perlu diikuti dengan penguatkuasaan yang telus, berterusan dan meluas agar matlamat tersebut dapat benar-benar tercapai.
Apa Peranan Kita?
Kita mungkin bukan sebahagian daripada peserta persidangan iklim sedunia, kita juga mungkin bukan pembuat dasar, juga bukan pemaju atau pemantau. Justeru di mana peranan kita dalam usaha memelihara alam sekitar?
Guna dan buang. Ayat yang boleh kita ingati dan fikirkan maksudnya. Kita boleh mengaitkannya dengan setiap aktiviti harian kita. Setiap hari kita menggunakan sesuatu dan membuang sesuatu.
Tetapi perkataan 'buang' itulah yang perlu kita hayati lagi. Ke mana dibuang? Mengapa perlu dibuang? Membazirkah dibuang? Tidak bahayakah dibuang? Persoalan sedemikian perlu kita tanyakan kepada diri sendiri tatkala hendak berbuat demikian.
Sebagai contoh, penggunaan dan pembuangan plastik. Tidak bahayakah plastik dibuang? Plastik merupakan satu bahan polimer yang sukar mereput walaupun setelah bertahun-tahun lamanya. Mengapa perlu dibuang? Mungkin sahaja boleh dikitar semula, maka tidak perlulah ia dibuang.
Bahan pencuci juga boleh kita kaitkan dengan 'guna dan buang'. Setelah kita gunakan pelbagai sabun pencuci tentunya kita perlu membuangnya. Ke mana dibuang? Ke dalam longkang, parit dan terus ke sungai. Tidak bahayakah dibuang? Ikan-ikan di sungai mungkin tidak dapat bertahan untuk hidup bersama bahan-bahan tidak terurai itu.
Lalu di sini kita sedar tentang hal ini dan sekurang-kurangnya berusaha membeli dan menggunakan sabun pencuci yang mudah terurai atau terbiodegradasi. Begitu juga dengan aktiviti lain, jalan berfikir yang sama boleh kita selami untuk kita sama-sama berusaha memelihara alam sekitar menurut keupayaan diri kita.
Kesimpulan
Sekecil-kecil tindakan kita rupa-rupanya besar kesannya kepada alam sekitar. Ada pertimbangannya apabila kita membuang sesuatu barangan itu. Andai boleh dikitar semula maka ia satu pilihan yang lebih baik.
Sebagai permulaan langkah, kita boleh berkongsi mewujudkan kesedaran pada diri, keluarga dan masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Para ibu bapa boleh menerangkan kepada anak-anak dan menunjukkan teladan yang baik untuk diikuti berkenaan penjagaan alam sekitar.
0 comments: