Author: Unknown
•11:49 PM

Soalan

SETIAP tahun umat Islam di negara kita menjalankan ibadat korban. Bolehkah daging korban ini dimakan oleh orang bukan Islam?


Jawapan

Pendapat umum dan amalan orang Islam di Malaysia mengatakan daging korban tidak boleh diberi makan kepada bukan Islam. Namun, kita boleh merujuk kepada pendapat dikemukakan ulama mazhab lain dalam isu ini. Kita dapat mengesan pelbagai pendapat dengan hujah masing-masing. Melalui pendapat itu umat Islam mungkin dapat menemui jalan keluar daripada isu ini.

Penulis Kitab Kasyf al-Qina menyatakan mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasara. Mazhab Hambali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.

Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama sepakat daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin Islam, namun mereka khilaf mengenai memberi makan daging korban kepada fakir miskin kafir ahli zimmah.

Imam Hasan al-Basri memberi keringanan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Disebutkan juga Imam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Laith menganggapnya makruh, namun berpendapat jika dimasak harus diberi makan kepada mereka berserta fakir miskin Islam.

Ibn Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir dan Shamsuddin al-Syarbini dalam al-Iqna' menukilkan bahawa mazhab Maliki berpendapat makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasrani.

Mazhab Hambali, al-Hasan al-Basri, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan daging korban kepada orang bukan Islam daripada kalangan kafir zimmi, daging korban sunat. Namun daging korban wajib, seperti korban nazar haram diberi kepada orang bukan Islam.

Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban, sama ada korban sunat atau korban wajib.

Ibn Hazm daripada Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla menyatakan bahawa tuan punya korban boleh memberi makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.

Berdasarkan pendapat itu, kesimpulan yang boleh dibuat:

  • Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada bukan Islam.
  • Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.
  • Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.
  • Semua ulama mazhab sepakat (ijmak) memberi atau memberi makan daging korban atau akikah wajib kepada bukan Islam adalah haram.

Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafie sahaja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib haram diberi atau diberi makan kepada bukan Islam. Manakala ulama dari mazhab lain berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat, tidak harus jika korban wajib.

Jika kita ingin mengundang orang bukan Islam makan kenduri atau ingin menghantar sepinggan lauk daging korban ingin saya sarankan agar beli sekilo dua daging dan dicampurkan dengan daging korban ketika masak. Bila dicedok lauk untuk hidangan bagi yang tetamu kita yang bukan beragama Islam itu, anggaplah daging yang dicedok itu daripada daging yang dibeli dipasar bukan daging korban.

Ini merupakan jalan keluar dan dapat meraikan jiran tetangga dan kawan-kawan yang bukan beragama Islam. Dengan demikian tidaklah orang terasa tersinggung kerana Islam tidak bersifat rahmat kepada mereka.

Melainkan keadaannya darurat seperti di Padang, pada tahun 2004 di Aceh, di mana sahaja sekiranya suasana darurat maka daging-daging korban boleh diagihkan kepada orang bukan Islam. Pengalaman saya di Mekah, pada hari-hari tasyrik 11, 12, 13 Zulhijjah akan berlaku lambakan daging-daging korban di tempat-tempat melakukan ibadah korban.

Keadaan ini mendesak pihak berkuasa tempatan melantik syarikat untuk menguruskan pembungkusan daging-daging tersebut dan dihantar ke negara-negara yang lebih memerlukan terutamanya ke kawasan Afrika, yang pastinya penduduknya tidak semua orang Islam. Daripada membazir dan dibuang lebih baik dimanfaatkan anak Adam. Sekiranya keadaan darurat diharuskan memberi daging korban kepada orang bukan Islam.

This entry was posted on 11:49 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: