Author: Unknown
•3:17 PM

Perkara yang membatalkan puasa sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja. Oleh itu, larangan yang disepakati oleh para ulama' adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadah kerana Allah. Inilah yang dijelaskan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Demikian juga menjauhi bercakap bohong, mengumpat, menghina dan lain-lain dosa. Di dalam Al-Quran, Allah telah menyebut di dalam Surah Al-Baqarah: 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak. Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang akal adalah dipersetujui oleh jumhur ulama' bahawa ia membatalkan puasa.


Adapun perkara yang tidak disepakati oleh jumhur ulama' boleh dibincangkan. Sebagai panduan, berikut adalah beberapa persoalan yang sering ditanya oleh masyarakat kita pada hari ini:


Pertama: Darah yang keluar dari tubuh; sama ada berbekam, mengambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, keluar darah dari hidung, tangan dan lain-lain.


Hukumnya: Tidak membatalkan puasa kerana yang membatalkan puasa adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya yang keluar dari tubuh. (Sumber: Kitab As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr. Muhd 'Uqiah, hlm. 215).


Manakala pendapat berkenaan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalilkan hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih , menurut Imam An-Nawawi, ia telah dinasakhkan dengan hadith daripada Ibn Abbas yang menyebut, Nabi S.A.W berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Sumber: Hadith Riwayat Al-Bukhari, 3/43). Ini adalah kerana hadith daripada Ibn Abbas ini berlaku ketika Haji Wida' dan terkemudian dari hadith-hadith yang menyebut batalnya puasa kerana berbekam. (Sumber: Kitab Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm. 90). Ini juga merupakan pendapat majoriti mazhab kecuali Mazhab Hanbali. (Sumber: Bidayatul Mujtahid, 1/247).


Kedua: Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala. Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan. Demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.


Hukumnya: Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiarkan tinggal di dalam kemaluan wanita kerana illah atau faktor penyebab batalnya puasa adalah masuknya sesuatu benda ke dalam perut. (Sumber: Kitab As-Siyam, Dr. Md 'Uqlah, hlm. 211)


Terkecuali juga jika lelaki atau wanita yang memasukkan jari ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu. Maka, ia membatalkan puasa. Tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya, maka, hukum yang lebih kuat menurut jumhur ulama' adalah tidak batal. (Sumber: Kitab As-Siyam, Dr. Md 'Uqlah, hlm. 211)


Ia juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan memasukkan sesuatu ke telinga dan hidung yang mana tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Sumber: Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan bahawa terdapat juga fatwa yang mengatakan batal. Oleh itu, adalah lebih baik menjauhinya sekiranya tiada tujuan yang mendesak. Ini adalah kerana menjauhi yang khilaf (berbeza pendapat) adalah lebih baik.


Ketiga: Pil elak haid untuk puasa penuh.


Hukumnya: Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haid wanita tersebut dan ia memerlukan nasihat doktor islam yang berwibawa.


Keempat: Penyembur gas untuk pesakit lelah.


Hukumnya: Pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa yang berlangsung di Putrajaya, ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan bahawa ia merupakan satu isu yang selalu dibincangkan oleh para ulama' dunia dan mereka berbeza pendapat apabila sebahagian daripada mereka mengatakan bahawa ianya batal dan sebahagian yang lain mengatakan tidak batal.


Mengikut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati bahawa gas semburan itu mempunyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika disembur di atas kertas. Selain itu, hamoir 90% daripadanya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan seterusnya ke perut. Ini bermakna, jisim-jisim gas tersebut masuk k eperut setiap kali semburan. Oleh itu, sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian juga pandangan awal daripada Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang pada Julai 2007. Tetapi selepas itu, mereka menarik balik
keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.


Walau bagaimanapun, para ulama' masih bergantung kepada maklumat jelas daripada doktor bagi memberikan fatwa yang tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr. Muhd 'Uqlah menyebut bahawa hukumnya tidak batal kerana gas tersebut hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala ubat lelah jenis hidu melalui hidung, ia adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (Sumber: Kitab As-Siyam, Dr. Md Uqlah, hlm. 226)


Kelima: Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal.


Hukumnya: Terdapat 2 jenis; sama ada untuk berubat atau untuk menguatkan badan. Sekiranya ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua dengan tujuan perubatan, ia disepakati oleh para ulama' tidak membatalkan puasa. (Sumber: Kitab Al-Qaradawi, hlm. 100 dan Kitab 'Uqlah, hlm. 226). Demikian juga hukumnya apabila seseorang mengambil suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan dengan tujuan perubatan adalah tidak membatalkan puasa.


Berkenaan dengan suntikan makanan, air, seperti glukos dan seumpamanya untuk tujuan perubatan, para ulama sekali lagi berbeza pendapat. Pendapat majoriti adalah tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah berpuasa. Ia adalah fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi dan merupakan keputusan Lajnah Fatwa Azhar pada tahun 1948. (Sumber: Kitab Tasyir Al-Fiqh As-Siyam, hlm. 100; Kitab Fatawa Syar'iyyah, hlm. 268; Yasalunaka, 5/53 dll)


Walau bagaimanapun, suntikan jenis makanan adalah membatalkan puasa, terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan dan lapar dahaga puasa.


Keenam: Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudu'.


Hukumnya: Tidak membatalkan puasa. Cuma, jika berlebihan berkumur-kumur, ulama' Syafie mengatakannya batal. Oleh itu, jauhilah daripada berlebihan ketika puasa.


Ia berdasarkan hadith Nabi S.A.W: "Sempurnakanlah wudu',basuhlah celah-celah jari –jemari mud an lebihkanlah menyedut air ke hidung mu, kecuali tatkala kamu berpuasa." (Sumber: Hadith Riwayat Abu Daud, no 142; Riwayat At-Tarmizi, 788; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi; Albani; Sohih)


Ketujuh: Melakukan maksiat, seperti tidak solat.


Hukumnya: Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama'. Akan tetapi, dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat. Malah, mungkin bertambah besar dosanya kerana mencemarkan kesucian bulan Ramadhan. Pahala puasanya akan terhapus. Selain itu, ia juga mencemarkan tujuan berpuasa, iaitu bagi melahirkan insan yang bertaqwa dan jauh daripada maksiat. (Sumber: Al-Qaradawi, hlm. 104).


Nabi S.A.W bersabda: "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampunkan dosanya, maka semakin jauhlah ia dengan Allah." (Sumber: Hadith Riwayat Ibn Hibban)


Kelapan: Bercium di antara lelaki dan wanita ketika berpuasa.


Hukumnya: Mencium isteri atau suami ketika berpuasa tidak membatalkan puasa menurut jumhur ulama'. Ia berdasarkan beberapa dalil. Di antaranya: "Nabi S.A.W mencium dan bermesra dengan isterinya dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai dirinya dan nafsunya" (Sumber: Hadith Riwayat Abu Daud, 2/311; Syuaib Arnaout: Sohih)


Satu dalil lain adalah: "Kami bersama Nabi S.A.W tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya: Aku berpuasa dan aku mencium isteriku. Jawab Nabi S.A.W: Jangan. Tiba-tiba datang seorang tua dan bertanya soalan yang sama. Jawab Nabi S.A.W: Ya. Tiada masalah. Kami saling berpandangan antara satu sama lain. Maka, Nabi S.A.W berkata: "Aku tahu kenapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain. Sesungguhnya, orang tua mampu mengawal dirinya dan nafsunya" (Sumber: Hadith Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya menyebabkan hadith ini dianggap dhaif)


Al-Qaradawi pula menambah: "Berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya" (Sumber: Kitab Fiqh As-Siyam, hlm. 106).


Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat, seperti menaikkan nafsu dan membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.


Kesembilan: Wanita tamat haid.


Hukumnya: Wanita yang tamat haid pada waktu malam dan sempat berniat puasa pada malamnya sebelum terbit fajar subuh, ia dikira sah puasanya walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum terbit fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi tersebut, kemudian, pada jam 8 pagi, haidnya kering, ia tidak boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar subuh.


Demikian juga ditegaskan oleh jumhur ulama' (Sumber: Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201) bahawa sama hukumnya seperti di atas.


Nabi S.A.W bersabda: "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tidak wajib puasa baginya". (Sumber: Hadith Riwayat Abu Daud, 3/108; Al-Bani: Sohih)


Kesepuluh: Keluar air mazi.


Hukumnya: Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwatnya. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa; sama ada ia membatalkan puasa ataupun tidak.


Zahir dalam Mazhab Hanbali menyatakan bahawa ia membatalkan puasa.


Walau bagaimanapun, Mazhab hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan Al-Basri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa bahawa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Pendapat ini banyak diterima pakai.


Kesebelas: Keluar air mani tanpa bersetubuh.


Hukumnya: Mencium dan menyentuh antara suami isteri sehingga keluarnya air mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qada'. Ia adalah disepakati oleh semua ulama'.


Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidak membatalkan puasa menurut sebahagian ulama', termasuk Mazhab Syafie dan Hanafi. (Sumber: Al-Mughni, 4/159).


Manakala Mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal puasa.


Walau bagaimanapun, pendapat yang banyak digunapakai adalah batal puasa. Ini adalah kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengan keluar air mani kerana sentuhan.


Kelaur air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu, jumhur ulama' bersepakat bahawa ia tidak membatalkan puasa.


Kedua belas: Menelan air liur.


Hukumnya: Ia tidak membatalkan puasa kerana terlalu sukar bagi kita untuk menjaga hal tersebut. (Sumber: Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159)

This entry was posted on 3:17 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: