Author: Unknown
•12:26 PM
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengikuti respons daripada orang ramai berhubung dengan pewartaan Fatwa Berkenaan Dengan Kursus ESQ Leadership Training Dan Fahaman yang seumpama dengannya yang dikeluarkan pada 17 Jun 2010. Berikut ini adalah penjelasan mengenai beberapa perkara berbangkit berhubung dengan pewartaan tersebut.

Pengeluaran fatwa di Wilayah Persekutuan perlu dilihat dalam dua konteks; daripada segi hukum syarak dan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 atau Akta 505.

(1) Daripada segi hukum syarak, pelantikan Mufti hukumnya fardu kifayah. Apabila seseorang itu telah dilantik sebagai Mufti, menjalankan tugas memberi fatwa adalah fardhu ‘ain baginya. Fatwa bererti : memberitahu hukum syarak pada sesuatu perkara yang berlaku. Pengeluaran fatwa dibuat melalui proses ijtihad. Malah, Imam al-Syaukani mentakrifkan fatwa sebagai ‘al-ijtihad’. Wajib bagi seseorang Mufti berpegang dengan pendapat ijtihadnya, dan haram baginya mengikut pendapat orang lain yang berbeza dengan ijtihadnya. Hukum ini adalah ijmak (disepakati) di kalangan ulama.

(2) Daripada segi undang-undang, Perkara 33 Akta 505 menyebut mengenai kuasa Mufti seperti berikut :

“Mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihakberkuasa utama di Wilayah-Wiilayah Persekutuan selepas Yang di Pertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Akta ini“.

Mengenai Fatwa, perkara 34 menyebut :

(1) Mufti hendaklah, atas perintah Yang di Pertuan Agong, dan bolehlah, atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang ditujukan kepada Mufti, membuat dan menyiarkan dalam Warta satu fatwa atau pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atas yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubungan dengan Hukum Syarak.

(2) Tiada pernyataan yang dibuat oleh Mufti boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika dan sehingga pernyataan itu disiarkan dalam Warta menurut subseksyen (1).

(3) Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang bermastautin di Wilayah-Wilayah Persekutuan sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu melainkan jika dia dibenarkan oleh Hukum Syarak tidak mengikut fatwa itu dalam perkara-perkara amalan, kepercayaan, atau pendapat peribadi.”

Perkara 37 memperuntukkan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak bagi membantu Mufti dalam mengeluarkan fatwa. Tidak terdapat dalam Bahagian 111 Akta 505 ini apa-apa peruntukan bahawa Mufti perlu menunggu atau patuh kepada keputusan daripada mana-mana pihak. Ini bertepatan dengan hukum syarak seperti yang disebutkan di atas.

Mengenai hubungan dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, dalam Akta 505 tidak terdapat apa-apa peruntukan yang menyentuh mengenai
hal ini. Mungkin pihak lain dapat memberi penjelasan berkaitan dengan perkara ini.


Proses Pengeluaran Fatwa ESQ

  • Proses pengeluaran Fatwa di atas oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bermula sejak 1 Ogos 2008, apabila Cawangan Akidah, Bahagian Penyelidikan JAKIM memulakan Kajian ekoran aduan orang ramai berhubung dengan status Kursus tersebut. Hasil Kajian ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Panel Kajian Akidah JAKIM (PKA) sebanyak 5 kali bermula daripada 27 ogos hingga 10 Februari 2009. Dalam masa tersebut, pihak JAKIM juga telah mengadakan pertemuan dengan pengasas ESQ, Ary Ginanjar Agustian.
  • PKA akhirnya memperakukan bahawa Kursus ESQ Leadership Training disekat dan diharamkan beroperasi di negara ini.
  • Kertas Kerja berkenaan Kursus ESQ dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke 86 pada 21 – 23 April 2009.Namun tiada keputusan muktamat dicapai.
  • Selain daripada kajian di atas, terdapat kajian daripada IKIM dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang memperakukan bahawa Kursus ini tidak sesuai dan mengandungi penyelewengan akidah.
Berasaskan fakta-fakta di atas, saya telah beroleh kesimpulan yang menyakinkan mengenai penyelewengan yang terdapat dalam Kursus ESQ. Dengan itu menjadi wajib bagi saya sebagai Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan fatwa bagi memberitahu masyarakat Islam tentang perkara-perkara yang merosakkan akidah yang terdapat di dalamnya. Maka pada 17 Ogos 2009, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Presekutuan kali ke 75 telah diadakan dan memutuskan pengharaman Kursus ESQ Leadership Training anjuran Ary Ginanjar Augustian.

Sementara itu, JAKIM juga telah menubuhkan Panel Pemantau ESQ untuk membuat kajian lanjut yang dianggotai oleh 6 orang Pensyarah daripada Universiti-Universiti Tempatan. Laporan penuh Panel ini dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ke 90 pada 1 Mac 2010. Perakuan Panel ini adalah sama dengan penemuan PKA bahawa kursus ini menyeleweng dan perlu di sekat daripada beroperasi di Malaysia.

Berasaskan apa yang telah dibentangkan di atas, jelas bahawa Fatwa berkenaan dengan Kursus ESQ telah dibuat dengan teliti, mengikut hukum syarak dan undang-undang yang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan. Saya tidak nampak apa-apa alasan untuk mengenepikan keempat-empat kajian di atas dengan membuat keputusan yang berlainan daripada apa yang diperakukan. Dalam keadaan ini, menjadi fardhu ‘ain bagi saya mengeluarkan fatwa mengikut pendapat yang saya yakin, dan haram mengikut pendapat orang lain walaupun ramai bilangan mereka. Selain daripada itu, masa dua tahun yang diambil sebenarnya terlalu lama dan tidak selaras dengan dasar meningkatkan kecekapan sistem penyampaian di kalangan kakitangan kerajaan.

Mengenai penyelarasan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, sebenarnya banyak keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa ini tidak diselaraskan di peringkat negeri walaupun keputusan dibuat secara konsensus. Misalnya, keputusan harus melantik wanita menjadi Hakim Syarie yang dibuat pada Muzakarah yang diadakan pada 4 – 5 April 2006. Terdapat negeri yang membuat keputusan sebaliknya, iaitu ‘tidak harus’. Dalam istilah fikah ia bermakna haram. Adalah sukar difahami mengapa Fatwa yang satu ini ditekankan sangat soal penyelarasan.

Mengenai Panel Syariah ESQ, menurut Kenyataan Rasmi Syarikat ini Bil. 02/2010, ia ditubuhkan pada September 2009. Banyak tandatanya di sebalik penubuhan Panel ini. Pertamanya, ESQ telah beroperasi di Indonesia sejak 10 tahun yang lalu tanpa Panel Syariah. Setelah dibawa masuk ke Malaysia dan sepanjang kajian oleh Bahagian Penyelidikan JAKIM yang bermula Ogos 2009, dan sehingga Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan mengharamkannya pada 17 Ogos 2009, Panel ini belum ditubuhkan. Ia hanya ditubuhkan tidak sampai sebulan ESQ diharamkan. Penubuhannya dalam keadaan seperti ini mengundang pelbagai pertanyaan. Dan bagaimana pula dengan perkara kufur yang terdapat dalam buku ESQ yang edarannya hingga kini melebihi 800 ribu naskhah mengikut cetakan terbaru (Ke 44 Mac 2010). Selain daripada itu, mampukah Panel Syariah berada di setiap Sesi Kursus yang diadakan di merata tempat di seluruh dunia. Saya mendapat respons daripada seorang sahabat warganegara Malaysia yang tinggal di Amerika Syarikat memberitahu beliau pernah menghadiri sesi demonstrasi ESQ di sana. Dan banyak lagi pertanyaan lain yang saya serahkan kepada kebijaksanaan pembaca sekelian membangkitkannya.

Tentang kritikan bahawa saya tidak wajar membuat keputusan kerana belum menghadiri Kursus ESQ seperti Mufti-Mufti lain. Perkara ini sebenarnya berkaitan dengan metodologi penyelidikan dan penyiasatan, khususnya terhadap pembawa ajaran sesat. Untuk tidak menyeret isu ini kepada perbahasan ilmiah, saya suka mengembalikan ingatan pembaca sekalian kepada keputusan mengharamkan beberapa kumpulan sesat seperti Al-Arqam dan ajaran Ayah Pin. Adakah para Mufti diperlukan menjadi pengikut Abu Ya atau Ayah Pin terlebih dahulu sebelum membuat keputusan? Apakah oleh kerana ESQ mengadakan kursus-kursusnya di hotel-hotel bertaraf lima bintang, maka diperlukan para Mufti menghadirinya terlebih dahulu. Tetapi memandangkan Ajaran Al-Arqam dan Ayah Pin diadakan di pendalaman, maka syarat ini tidak diperlukan. Saya berpendapat amalan “double standard” seperti ini tidak sesuai bagi para Mufti yang diamanahkan untuk menjaga syariat Allah. yang Maha Suci. Oleh itu tidak ada keperluan bagi saya untuk menjadi pengikut “Ayah Ary” terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Huraian lanjut berhubung dengan sepuluh perkara yang boleh merosakkan akidah itu akan dibuat melalui Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Akan didedahkan juga bagaimana Danah Zohar, Yahudi dari Amerika Syarikat begitu reda dengan “Islam” yang di bawa oleh Ary Ginanjar melalui bukunya ESQ.

Sekian, terima kasih.

DATUK WAN ZAHIDI BIN WAN TEH
Mufti Wilayah Persekutuan

(Sumber: www.muftiwp.gov.my)
Author: Unknown
•12:15 PM
Terdapat nas yang membolehkan perkahwinan dengan kanak-kanak di bawah umur sama ada daripada al-Quran, hadith dan ijma’.

Pertama: Daripada al-Quran

1. (Surah al-Talaq: 4)

Maksudnya: Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh iddah mereka) maka iddahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaid.

Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa iddah perempuan yang dicerai apabila dia masih kecil atau belum haid.

Al-Baghawi berkata: “Perkataan (وَاللائِي لَمْ يَحِضْنَ), iaitu mereka yang kecil belum lagi haid. Maka iddah mereka, juga tiga bulan.” (Tafsir al-Baghawi: 8/152)

Ibn Qayyim berkata: “Iddah perempuan yang tiada haid ada dua jenis, iaitu kecil yang tiada haid dan besar yang sudah putus haid.”


2. Allah SWT menerangkan iddah kedua-duanya melalui firman-Nya: (Surah al-Talaq: 4)

Maksudnya:
Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh iddah mereka) maka iddahnya ialah tiga bulan, dan (demikian) juga iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaid.

Al-Hakim dan al-Baihaqi meriwayatkan di dalam sekumpulan perawi yang lain daripada Ubai Ibn Ka’ab, setelah turunnya satu ayat tentang iddah isteri beberapa orang penduduk Madinah mengatakan: “Antara iddah para isteri itu masih terdapat iddah-iddah yang tidak disebutkan di dalam al-Quran iaitu isteri yang masih kanak-kanak dan perempuan tua yang sudah berhenti haid serta perempuan-perempuan yang hamil.”

Lalu, turunlah firman Allah SWT dalam surah al-Nisa yang amat pendek iaitu sebahagian ayat sahaja.


Kedua
: Sunnah

Maksudnya:
Daripada Aisyah RAnha bahawa Nabi SAW mengahwininya sedangkan beliau berusia enam tahun dan bersama dengannya ketika berusia sembilan tahun. Kemudian hidup bersama Rasulullah SAW selama sembilan tahun. [Riwayat Bukhari (4840) dan Muslim (1422)]

Kanak-kanak yang kecil ini hendaklah dikahwinkan oleh ayahnya sahaja, bukan wali yang lain mengikut pendapat yang sahih di kalangan ulama’. Begitu juga, kanak-kanak tersebut tidak memiliki khiar apabila sudah baligh.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah Rahimahullah berkata: “Perempuan tidak sayugia bagi seseorang mengahwininya kecuali dengan izinnya, sebagaimana Rasulullah SAW perintahkan. Jika perempuan itu enggan dan benci, maka tidak boleh dipaksa untuk perkahwinan kecuali kanak-kanak kecil, yang mana bapanya boleh mengahwininya tanpa izin.” [Lihat Majmu’ al-Fatawa (32/39)]


Ketiga
: Athar Sahabat

Diriwayatkan, ramai dikalangan sahabat berkahwin dengan kanak-kanak perempuan. Antaranya, Sayyidina Umar Ibn al-Khattab RA berkahwin dengan anak perempuan Sayyidina Ali RA yang pada masa itu masih kecil. Hal ini sabit dalam sejarah dan tarikh Khulafa’ al-Rasyidin.


Keempat:
Ijma’

Terdapat ramai ulama’ menaqalkan ijma’. Antaranya:

  • Ibn Abd al-Bar berkata: “Ijma’ para ulama’ bahawa ayah boleh mengahwini anak perempuannya yang kecil tanpa bertanya pendapatnya dan Rasulullah SAW telah berkahwin dengan Aisyah, anak Abu Bakar RA, sedangkan dia kecil usianya, enam tahun atau tujuh tahun yang dikahwini oleh ayahnya.” [Lihat al-Istizkar (16/49-50)]
  • Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Anak dara yang kecil boleh dikahwini oleh ayahnya secara ittifaq di kalangan ulama’ kecuali yang asing dan pelik.” [Lihat Fath al-Bari (9/239)]
  • Syeikh Sa’di Abu Jaib dalam Mausu’ah al-Ijma’ 3/1185 berkata: “Ulama’ ijma’ bahawa ayah boleh mengahwinkan anaknya yang kecil dan memaksanya. Dan ijma’ orang Islam bahawa ayah boleh mengahwini anak perempuannya yang kecil tanpa persetujuannya. Inilah ijma’ ahli Ilmi.”


Fatwa Ulama’


  • Lajnah Buhuth dan Ifta’ 8416/2009 menyebut: “Hal ini tidak lah bercanggah dengan syariat.
  • Dalam Mausu’ah Fatawa juga menyebut: “Ketika Rasulullah SAW berkahwin dengan Aisyah RAnha, usianya 50 tahun dan Aisyah pula berusia 6 tahun.”
  • Syeikh Jad al-Haq dalam Buhuth wa Fatawa al-Islamiyyah 2/133 menyebut: “Bahawa harus dikahwinkan kanak-kanak yang belum baligh sebagaimana pendapat jumhur”.
  • Syeikh al-Islam dalam al-Fatawa al-Kubra 3/79-80 berkata: “Jika yang meminang itu kufuk, maka hukumnya harus perkahwinan menurut yang paling asah dikalangan ulama’. Ia adalah mazhab Abu Hanifah dan Ahmad dalam masyhur pendapatnya. Ada pendapat yang menyatakan, perempuan tersebut boleh membuat pilihan apabila sudah baligh.”
(Sumber: Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri)
Author: Unknown
•3:53 PM
Siri Forum Hadhari bertajuk, 'Undang-undang Islam dan Hukuman Sebat Wanita' dijayakan oleh Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) di UKM, Bangi, Selangor


Tidak menghairankan jika ada yang masih menganggap betapa 'terkebelakangnya' hukuman rotan dalam perundangan syarie. Ini apabila mereka memahaminya sebagai hukuman yang amat mendera, meninggalkan kesan yang luka-luka dan lebih teruk dituduhnya, tujuan tiada lain, kecuali untuk menjatuhkan maruah terutamanya jika yang menerima hukuman tersebut wanita!

Alasannya, dalam kata wanita sebagai golongan yang lemah dan datangnya Islam itu, satu-satunya agama yang mengangkat martabat dan maruah wanita, jadi sesuaikah jika golongan ini dirotan?

Pelbagai polemik timbul mengenai pelaksanaan hukuman rotan ini dan setiap kali itulah juga atas dasar tanggungjawab untuk mempertahankan Islam daripada diperkotak katik. Pelbagai pihak mengambil inisiatif mengajak orang ramai berada dalam sebuah forum, seminar dan syarahan bagi sama-sama memahami mengenai hukuman ini dan undang-undang Islam secara keseluruhannya.

Ini sebagaimana yang dijayakan oleh Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) di UKM, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Mereka menganjurkan Siri Forum Hadhari bertajuk 'Undang-undang Islam dan Hukuman Sebat Wanita' yang dibarisi oleh barisan panel iaitu dua pensyarah Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Datin Dr. Paizah Ismail dan Prof. Madya Dr. Nasimah Hussin serta pensyarah dari Fakulti Undang-undang UKM, Dr. Jasri Jamal.

Forum yang dipengerusikan oleh pensyarah Fakulti Undang-undang, UKM, Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd. Awal berjaya menarik kehadiran hampir 200 peserta dari pelbagai latar belakang, termasuk individu, para pelajar dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Pengarah Institut Islam Hadhari, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusuf Othman berkata, dewasa ini orang ramai terutamanya di kalangan bukan Islam begitu memerhatikan segala macam tribulasi dan mehnah mengenai Islam.

Malah pelaksanaan Islam di negara ini turut mendapat perhatian dunia lebih-lebih lagi mereka telah memberi pelbagai gambaran hukuman seperti ini yang dilaksanakan di negara-negara Islam yang lain.

"Namun adalah sangat penting bagi kita menjelaskan bahawa hukuman rotan syarie sama sekali tidak bertujuan menghina tetapi mempunyai perspektif yang tersendiri dan signifikan.

"Ini kerana lebih hina lagi perbuatan kesalahan yang telah mereka lakukan seperti minum arak, zina dan sebagainya itu," katanya.

Sebagai seorang yang berpengalaman luas di bidang undang-undang, Noor Aziah mengakui hakikat kelemahan wanita tetapi tidak timbul golongan tersebut teraniaya atau didiskriminasi apabila dirotan atas kesalahan yang mereka lakukan.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh Dr. Paizah yang juga salah seorang Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sejak 2004, bahawa hukuman rotan dalam undang-undang Islam adalah hukuman yang telah diperundangkan selepas melalui proses penggubalannya peringkat demi peringkat.

Dengan kata lain, hukuman tersebut tidak direka atau sengaja diada-adakan tanpa sebab musabab, jauh sekali menganiaya mana-mana pesalah, baik pesalah lelaki mahupun perempuan.

Beliau menarik perhatian apabila Islam membenarkan isteri yang nusus supaya dipukul oleh suami tetapi perlu difahami sepenuhnya tata cara untuk memukul isteri berkenaan.

"Adakah sehingga isteri cedera, luka berdarah-darah! Adakah dengan cara itu bertujuan mengajar atau hendak membunuh? Begitu juga hukuman rotan terhadap pesalah yang minum arak dan apa juga jenis kesalahan yang lainnya, adakah kita tidak mempunyai tata cara rotan kita sendiri bagi mencapai matlamat untuk mengajar, mendidik, menimbulkan keinsafan dan sebagainya.

"Dalam soal ini, sejauh mana para pesalah menjiwa sepenuhnya hukuman Islam amat memainkan peranan.

"Jika tidak dijiwai terutama tidak bertaubat nasuha, berat atau ringan sesuatu hukuman itu pastinya tidak meninggalkan sebarang kesan. Tetapi sekurang-kurangnya memberi pengajaran kepada umat Islam yang lainnya," katanya.

Sebelum itu beliau menarik perhatian pendengar dengan beberapa keunikan perkataan: "behe", "piak", "gode" dan "godam" iaitu istilah rotan dan pukul mengikut dialek Kelantan.

Berbanding jenayah syariah berbentuk hudud seperti berzina dan qazaf (tuduhan zina) yang jelas dinyatakan bentuk hukuman tersebut dalam al-Quran, kesalahan minum arak hanya disebut dalam bentuk larangan (al-Maidah, ayat 90)

"Benar, bentuk hukuman minum arak tidak dijelaskan dalam al-Quran tetapi Rasulullah telah menetapkan bagi kesalahan tersebut perlu dihukum sebanyak 40 kali rotan yang di zaman Rasulullah hukuman ini dilaksanakan.

"Malah di zaman Khalifah Ali bin Abi Talib beliau pernah menjatuhkan hukuman rotan ini sebanyak 100 kali terhadap seorang lelaki yang dengan sengaja minum arak. Iaitu 80 kali atas kesalahan minum arak dan 20 kali kerana sengaja minum arak di bulan Ramadan, bulan umat Islam berpuasa," jelasnya.

Ini bagi menjawab sesetengah pihak yang mempersoalkan justifikasi hukuman rotan terhadap pesalah minum arak kerana ia tidak disebut dalam al-Quran.

Tetapi kata Dr. Paizah, yang jelas arak hukumnya haram malah dikategorikan sebagai kesalahan dosa-dosa besar.

"Maka akan ada hukumannya yang mandatori, rigid iaitu hukum hudud bagi setiap pesalah yang meminum arak tanpa mengira lelaki atau perempuan," katanya.

Dr. Nasimah pula tegas dengan kenyataan hukuman rotan dan lain-lain aspek perundangan Islam itu tidak pernah diganggu oleh mana-mana pihak termasuk pihak British ketika menjajah Tanah Melayu dahulu.

Katanya, ini tentu menghairankan apabila sejak akhir-akhir ini ada pihak cuba menjadi 'juara' bagi menentang hukuman ini termasuk dari segelintir dari umat Islam itu sendiri.

"Jangan hanya kerana hukuman rotan terhadap pesalah wanita tidak ada peruntukannya dalam undang-undang sivil, maka hendak dipertikaikan perlaksanaan hukuman seperti itu dalam undang-undang syarie," katanya.

Namun yang menariknya, tidak semua kesalahan jenayah syarie termasuk arak akan berakhir dengan hukuman rotan.

"Ini seperti yang berlaku di Melaka, hukuman rotan hanya dijatuhkan atas kesalahan liwat kerana kesalahan meminum arak hanya akan dijatuhkan dengan hukuman rotan di empat negeri sahaja iaitu, Pahang, Kelantan, Kedah dan Perlis," jelasnya.

Semua ini berpunca daripada tiada keseragaman undang-undang syariah di negara ini.

Begitu pun apa juga bentuk kesalahan jenayah syarie itu termasuk bersekedudukan secara haram (zina), khalwat, liwat, muncikari (bapa ayam), musahaqah (lesbian), ajaran sesat, tidak menunaikan solat Jumaat, makan di khalayak ramai di bulan puasa, judi, tuduhan qazaf dan sebagainya, bentuk hukuman adalah sama.

Hukumannya adalah denda maksimum RM5,000, penjara tiga tahun atau sebatan atau rotan sebanyak enam kali.

Bentuk hukuman ini kemudiannya menjadi satu istilah dan fenomena menarik apabila perundangan Syariah di negara ini juga dikenali sebagai Undang-undang 536 (denda, penjara dan rotan).

"Yang sepatutnya menjadi persoalan mengenai kewajaran sama ada untuk mempertahankan undang-undang 536 ini atau perlu penambahbaikan atau lebih tepat ditambah hukuman-hukuman tersebut supaya ia lebih sifat 'mengajar'.

Menurut Dr. Nasimah, undang-undang 536 ini telah berusia 24 tahun dan ia tidak pernah disemak semula. Sedangkan masa berjalan dengan begitu pantas, hukuman tiga tahun mungkin tidak begitu dirasai, denda RM5,000 semua orang mampu untuk membayarnya.

"Jika tidak pun hukuman rotan perlu lebih mendapat keutamaan kerana dengan hukuman itu, seseorang pesalah tidaklah sampai hilang pekerjaan atau berpisah dengan kaum keluarga," katanya.

Hampir kesemua panel forum itu percaya bahawa hukum-hukum syarie sekali pun rigid tetapi penuh dengan pelbagai fleksibiliti terutama dalam aspek pelaksanaannya.

Ini sebagaimana yang berlaku di zaman Rasulullah apabila seorang wanita menemui baginda mengaku berzina sehingga mengandung.

Rasulullah tidak menjalankan hukuman terhadapnya sehingga wanita itu selamat bersalin dan tamat tempoh menyusukan anak barulah hukuman dilaksanakan.

Namun seperti yang ditegaskan oleh Dr. Jasri pula, dalam undang-undang syarie wanita mahupun lelaki yang berusia lebih 50 tahun tetap perlu menjalani hukuman rotan dengan pihak berkuasa dapat mengenalpasti pelaksanaan yang terbaik.

"Termasuk boleh ditangguh pelaksanaan rotan jika pegawai perubatan memperakui disebabkan umur tua, keuzuran atau apa-apa sahaja masalah yang dirujuk kepada mahkamah untuk memerintahkan hukuman mengikut cara yang munasabah.

"Tetapi yang jelas dari aspek cara sebatan itu disebutkan seperti di Wilayah Persekutuan adalah dalam kekuatan yang sederhana, sebatan ke seluruh tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit, tanpa mengangkat tangan melebihi kepalanya, tidak melukakan kulit, pesalah lelaki dalam keadaan berdiri, duduk untuk pesalah perempuan," kata beliau.

Seharusnya kita dapat bersetuju hukuman rotan perlu mendapat keutamaan dari aspek keputusan mahkamah dan pelaksanaan hukuman.

Berbanding hukuman denda dan penjara, merotan mampu memberi kesan secara maksimum dalam aspek memberi pengajaran kepada para pesalah.

Malah seperti yang dinyatakan oleh Dr. Nasimah, rotan ini ada kebaikannya dalam aspek rawatan dan kesihatan bagi memulihkan aspek fizikal dan mental para pesalah.

"Terdapat klinik di Rusia yang menggunakan kaedah merotan kepada para pesakit apabila didapati pukulan-pukulan rotan terutama mengenai di bahagian pinggul dapat memulihkan apa juga masalah pesakit.

"Iaitu dari masalah tekanan perasaan sehinggalah soal ketagihan alkohol kerana didapati merotan itu dapat merembeskan lebih banyak hormon keseimbangan badan," katanya.

Namun apa yang didedahkan oleh Noor Aziah berdasarkan kajian adalah lebih membimbangkan lagi.

Ini apabila seramai 4,000 responden beragama Islam di negara ini yang berumur 15 tahun hingga 40 tahun, 80 peratus daripada mereka mengaku minum arak.

Walaupun keputusan kajian itu belum lagi rasmi, namun dikatakan fenomena minum arak merupakan gejala yang benar-benar melanda umat Islam di negara ini.

Di saat itu, sebagaimana istilah popular ada menyebut kerosakan telah berlaku! Maka berapa banyak kos sosial diperlukan untuk memulihkan ketagihan itu?

Author: Unknown
•3:37 PM
Radio IKIM.FM merupakan satu - satunya stesen ISLAM yang beroperasi selama 24 jam penuh, dan merupakan wadah penting umat Islam mendapatkan ilmu dan info. Radio IKIM.FM juga menjadi tempat peniaga Islam yang mengamalkan konsep halal lagi bersih memasarkan produk mereka, ini menjadikan IKIM.FM sangat penting. Akan tetapi, maklumat yang terkini amat memeranjatkan bahawa radio IKIM.FM berisiko ditutup operasinya, atas sebab pihak setiausaha dan akauntan telah gagal membayar yuran siaran (CASP) kepada SKMM sejak penubuhannya lagi.

Sehingga 28 Oktober 2008 satu LOD daripada peguam SKMM telah dihantar kepada SETIAUSAHA IKIM berkenaan radio IKIM.FM dan diterima pada 3 NOV 2008. Bahagian radio juga telah mencadangkan supaya pihak setiausaha/akauntan/pengurusan supaya menjelas/mengambil tindakan lanjut perkara ini dan sehingga kini tiada apa - apa tindakan. Mengikut maklumat , radio IKIM.FM akan ditutup oleh pihak SKMM bila – bila masa
kerana IKIM.FM sekarang terdedah dengan undang – undang CMA1998 kerana beroperasi secara haram. Pihak SKMM juga memaklumkan kes radio IKIM.FM ini akan dibawa ke pihak pengerusi suruhanjaya, dan seterusnya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ke rasah penggantungan dan seterusnya penamatan lesen radio IKIM.FM. Ini amat mendukacitakan pendengar. Perkara serius begini tidak diambil perhatian oleh pihak setiausaha/akauntan, dan jawatan setiausaha dan akauntan adalah satu individu yang sama..!!!! Perkara ini melibatkan kepentingan semua pihak. Baik pendengar, pengiklan, pendakwah, dan juga staf - staf bahagian radio itu sendiri, dan terbaru pihak akauntan/setiausaha telah memotong gaji DJ sambilan yang walaupun mereka bertugas selama 4 jam tetapi hanya dibayar 31/2 jam sahaja..!!! dan ini akan bertambah buruk jika akan datang radio IKIM.FM ditutup. Perkara ini sangat mengecewakan saya. Terlalu banyak sabotaj yang dilakukan, untuk mengundang bagi rakaman bicaraan Ad Din pun pihak setiausaha meletakan pelbagai syarat yang menyusahkan penganjur.... Perkara ini perlu tindakan tegas dari semua pihak untuk mendesak pihak pengurusan , setiausaha dan akauntan supaya mengambil peduli akan masalah ini. Jangankan sehingga kita kehilangan sebuah wadah untuk berdakwah kepada orang ramai, radio IKIM.FM adalah hak kita bersama.

(Sumber: Persatuan Pengguna Islam Malaysia)