Author: Unknown
•3:41 PM
TOKOH MAAL HIJRAH NEGARA

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (dua dari kiri) berkenan melihat pingat anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1431 Hijrah yang diperoleh Pengerusi Kumpulan FELDA, Tan Sri Dr. Mohamed Yusof Mohamed Noor (kanan) selepas menyampaikan anugerah itu pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1431 Hijrah di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Kuala Lumpur, semalam.

Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi (kiri) juga merupakan penerima anugerah itu. Turut kelihatan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Kedua-dua tokoh itu menerima hadiah wang tunai RM100,000 termasuk RM10,000 sumbangan Yayasan Ubaidi, sebuah plak, pingat dan sijil penghargaan. – BERNAMA


TOKOH MAAL HIJRAH JOHOR


Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut, 63, dipilih sebagai penerima Anugerah Maal Hijrah Johor 2009 pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Johor di sini hari ini.

Anugerah tersebut sebagai menghargai jasa dan sumbangan besar bekas Mufti Johor itu dalam pembangunan Islam di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman yang mewakili Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman menyampaikan trofi anugerah berkenaan di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar.

Sambil melahirkan rasa kesyukuran, Nooh ketika ditemui berkata, beliau tidak menyangka dipilih sebagai penerima anugerah tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri.

"Saya berharap agar dapat terus memberi sumbangan kepada kesejahteraan dan perpaduan umat Islam pada masa depan," katanya.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Ali Hassan dan Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Kiyai Shamsuddin.

Nooh berkata, setiap umat Islam perlu memberi sumbangan kepada Islam mengikut kemampuan masing-masing bagi memartabatkan lagi agama itu.

Menurutnya, ia penting khususnya bagi umat Islam di negara berbilang kaum dan keturunan untuk memastikan ketenteraman dan keharmonian negara.

"Saya mendoakan agar penduduk berbilang kaum di negara ini terus hidup dengan bersatu padu dan maju," katanya.

Sementara itu, Mohd. Sani Abdullah, 52, yang menerima Anugerah Khas Saudara Baru Lelaki berkata, beliau bersyukur kerana diberikan anugerah berkenaan selepas mengharungi pelbagai liku kehidupan selepas memeluk Islam kira-kira 30 tahun lalu.

Menurutnya, antara pengalaman itu ialah beliau diboikot oleh ahli keluarganya sebaik sahaja memeluk Islam ketika berusia 20 tahun.

Bapa empat orang anak itu berkata, bagaimanapun selepas tempoh tertentu keluarganya dapat menerima beliau kembali dengan hati terbuka.

"Apabila keislaman saya diketahui oleh keluarga, saya pernah dikurung dan dilumurkan daging babi tetapi dengan kuasa Allah saya dapat melarikan diri.

"Dan semasa berlari ke rumah bapa angkat, saya terus menerus melaungkan azan," katanya yang berasal dari Muar menceritakan cabaran awal memeluk Islam.

Mohd. Sani yang kini bertugas sebagai Pembantu Tadbir Kanan Hospital Jasin aktif dalam pelbagai kerja kebajikan khususnya membantu golongan saudara baru.

Sementara itu, Nur Maliha Abdullah pula menerima Anugerah Khas Saudara Baru Wanita manakala pasangan yang mempunyai tujuh orang anak, Othman A. Rahman, 79, dan isteri, Noraini Abd. Rahman, 69, dipilih sebagai pemenang Anugerah Ibu Bapa Mithali.

Selain itu, ibu bapa kepada enam orang anak, Saim Suradi, 78, dan isterinya, Sainah Amnah Ahmad, 70, pula dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Ibu Bapa Mithali.

Dalam pada itu, Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid Taman Universiti, Skudai dipilih sebagai pemenang pertama Anugerah Masjid Cemerlang manakala Surau Kampung Felda Tunggal Kota Tinggi muncul penerima Anugerah Surau Cemerlang.


SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN = 18 Dis 09

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah pertama Negeri Sembilan dipilih menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431 peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Tokoh agama tersebut, Datuk Baharum Hasbullah, 68, dipilih berdasarkan sumbangan beliau dalam bidang agama terutama Perundangan Syariah di negeri ini.

Beliau menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam majlis sambutan Maal Hijrah di Dewan Majlis Perbandaran Seremban di sini.

Turut sama berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Baharum yang berasal dari Rembau menerima hadiah wang tunai, RM10,000, sijil dan pakej umrah.

Beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah ketika jawatan itu diwujudkan pada 1992.

Beliau yang juga merupakan Ketua Hakim Syarie pertama pada 1995, sehingga kini masih aktif dalam menyalurkan sumbangan seperti menjawat jawatan Ahli Jawatankuasa Fatwa negeri, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan sebagai tenaga pengajar kuliah agama.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis, katanya, dakwah yang berterusan perlu dilakukan dalam membentuk ummah yang sejati.

"Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh setiap masyarakat Islam demi memperkukuhkan ummah," kata beliau.

Menurut Baharum lagi, beliau berhasrat untuk meneruskan sumbangannya dalam aktiviti keagamaan termasuk berdakwah selagi mampu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UITM), Halida Yu, 43, dari Kuala Pilah dipilih menerima anugerah Kepimpinan Saudara Muslim.

Selain itu dua lagi menerima anugerah individu berjasa iaitu Anugerah Tokoh Ulama Silam, Allahyarham Hamzah Maarof dan Tokoh Imam, Muhammad Serul.

Turut menerima anugerah bagi kategori Anugerah Khas Pentadbir Masjid adalah Yaakob Abd. Hamid (Anugerah Khas Imam); Abd. Hamid Abdullah (Anugerah Khas Nazir); Zulkifli Muhamed (Anugerah Khas Setiausaha) dan Jantan Saadun (Anugerah Khas Bendahari).


TOKOH MAAL HIJRAH MELAKA


Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Datuk Wira Dr. Mohd. Yusoff Hashim dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri Melaka bagi tahun 1431 Hijrah.

Mohd. Yusoff, 64, yang berasal dari Bukit Katil di sini dipilih menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakub sempena sambutan Maal Hijrah tahun ini di Masjid Ar-Rashidin, di sini malam tadi.

Beliau menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan dan hadiah iringan.

Mohd. Yusoff ketika ditemui terharu dan bersyukur atas anugerah yang diterima itu.

‘‘Anugerah ini sangat bermakna kerana saya anggap ia sebagai pengiktirafan kepada hasil usaha dan sumbangan saya dalam bidang akademik serta sejarah.

‘‘Saya terharu dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberikan anugerah ini,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada majlis tersebut.

Beliau turut aktif dalam pertubuhan dan persatuan antaranya Pengerusi Jawatankuasa Penulisan Biografi Malaysia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermula Disember sehingga kini.

Selain itu, beliau turut menjadi Pakar Rujuk Dokumentasi Sastera DBP bermula Jun tahun 1995; Pengerusi Jawatankuasa Penulisan Sejarah Nasional Malaysia Universiti Malaya (UM) bermula Julai tahun 2007 dan Pakar Rujuk Teater Bangsawan Tun Perak Iksep tahun 2005.

Mohd. Yusoff yang melanjutkan pengajian doktor falsafah di UM pernah berkhidmat sebagai guru, tutor, pensyarah dan Profesor Madya di universiti yang sama.

Beliau turut aktif dalam bidang penulisan berbentuk ilmiah, penerbitan dan artikel antaranya Diskusi Sejarah, Sejarah Melayu : Persepsi Sejarah dan Kesusasteraan; Syair Sultan Maulana; Kesultanan Melayu Melaka; Pensejarahan Melayu Nusantara dan Tun Perak dalam Pembinaan Peradaban Melayu Nusantara.

Sementara itu, sembilan lagi penerima anugerah tokoh bagi kategori masing-masing ialah Abu Bakar Ramlan sebagai Tokoh Perkhidmatan Awam dan Norhayati Abu Noor (Tokoh Penggerak Masyarakat).

Tokoh-tokoh lain yang menerima anugerah ialah Nasrul Ahmad bagi kategori Tokoh Belia, Sulaiman Awang (Tokoh Keluarga Bahagia), Abenoh Othman (Tokoh Pegawai Syarak), Muhamad Tain (Tokoh Pentadbir Masjid), Rohani Tai Abdullah bagi kategori Tokoh Saudara Muslim.

Bagi kategori Tokoh Warga Istimewa dimenangi oleh Jasmi Md. Tegol yang mengalami kecacatan anggota badan jenis Polio sejak kecil.

Jasmi, 46, berasal dari Lubok China di sini dan ketika ini bertugas sebagai Ketua Bidang Kemanusiaan di Sekolah Kebangsaan Lubok China.

Antara sumbangan beliau kepada masyarakat ialah pernah memenangi juara dunia Badminton OKU di China Taipei dan merangkul Juara Asia Perseorangan dan Beregu Badminton OKU selain pernah merangkul Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Tokoh Usahawan OKU Melaka, Tokoh OKU negeri dan Tokoh Antarabangsa Jabatan Pelajaran Melaka.

Bagi kategori Tokoh Ibu Mithali dirangkul oleh Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat daerah Melaka Tengah, Rahmah Tasrip berasal dari Kampung Tehel di sini.

Rahmah, 53, mempunyai lapan cahaya mata hasil perkongsian hidupnya bersama Hamid Kamit.


TANJUNG MALIM, PERAK - 19 Dis 09

Penglibatan berterusan dalam aktiviti keagamaan tanpa mengira lapisan masyarakat melayakkan Ibrahim Mahmud, 71, dinobatkan sebagai tokoh Maal Hijrah Perak.

Ibrahim, bapa kepada tujuh orang anak, dilahirkan di Lenggong, kini berkhidmat sebagai Pengetua Sekolah Menengah Agama Imam As Syafie di Jelapang.

Beliau menerima hadiah berupa plak, medal, wang tunai RM10,000 selain pakej mengerjakan umrah bernilai RM5,000 sumbangan Yayasan Perak serta sijil.

Hadiah disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri yang diadakan di Bandar Baru Proton di sini semalam.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Hadir sama, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air, Datuk Ramly Zahari yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Ketika ditemui, Ibrahim yang bersyukur dengan penganugerahan tersebut berkata, beliau amat menitikberatkan soal ilmu di dalam pengajaran sama ada kepada orang ramai mahu pun di kalangan anak-anaknya.

''Apa yang paling penting ialah kita berjihad untuk berhijrah daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik kepada yang lebih baik," katanya.

Selain bertugas sebagai pengetua, Ibrahim sebelum ini pernah menjawat beberapa jawatan penting kerajaan termasuk kadi daerah dan hakim mahkamah syariah.


ALOR SETAR, KEDAH - 18 Dis 09

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Wan Shamsudin Mohd. Yusof dipilih menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah negeri ini bagi tahun 1431 Hijrah.

Wan Shamsudin, 77, yang merupakan bekas guru dipilih menerima anugerah tersebut sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah tahun ini di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tunku Anuar Sultan Badlishah yang mewakili Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Beliau menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan dan hadiah iringan.

Ketika ditemui selepas majlis tersebut, Wan Shamsudin melahirkan perasaan terharu dan bersyukur atas anugerah yang diterima itu.

"Saya mengucapkan terima kasih atas pemberian anugerah ini. Ia akan menjadi pembakar semangat dan perangsang kepada saya untuk meneruskan perjuangan khususnya dalam memartabatkan sejarah negeri ini," katanya.


KANGAR, PERLIS - 18 Dis 09

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan umat Islam agar tidak memperbesarkan perselisihan pendapat sehingga membuka ruang kepada musuh yang sentiasa mencari peluang untuk memusnahkan mereka.

Titah baginda, perkara yang remeh tidak wajar dijadikan isu, terutama untuk kepentingan kumpulan kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk kepada umat Islam sendiri.

"Saya menyeru seluruh umat Islam agar tidak memperbesar-besarkan isu yang remeh-temeh. Jangan pula ada yang berbalah ekoran kes-kes kecil, terutama yang berpunca daripada perbezaan pendapat.

"Pada masa yang sama pula, saya turut berharap supaya penganut agama lain akan sentiasa menghormati masyarakat Islam sebagaimana umat Islam menghormati mereka," titah baginda.

Raja Perlis membuat peringatan itu semasa bertitah merasmikan Perhimpunan dan Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis 1431 Hijrah / 2010 Masihi di Dewan 2020 di sini hari ini.

Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid turut berangkat ke majlis yang dihadiri oleh kira-kira 2,000 umat Islam itu.

Tuanku Syed Sirajuddin juga menasihatkan semua pihak yang berbeza pendapat, terutama yang berkaitan dengan Islam, agar mengutamakan berbincangan bagi manfaat jangka panjang.

Baginda membuat teguran itu kerana tidak mahu nasib penganut Islam di Malaysia seperti kira-kira 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia yang dipandang rendah.

Titah baginda, masyarakat dunia tidak menyanjung 1.5 bilion umat Islam itu kerana mereka sendiri gagal sepakat sehingga mencetuskan ketegangan termasuk berbalah sesama sendiri.

Sempena sambutan Maal Hijrah Perlis 2009, Duta Besar Malaysia ke Arau Saudi, Profesor Madya Datuk Syed Omar Alsaggaf, 65, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Perlis.

Tokoh tersebut yang diberi hadiah RM5,000 tidak hadir kerana kini bertugas di luar negara.

Anugerah Masjid Terbaik pula dengan hadiah RM3,000 dimenangi oleh Masjid Salehuddin Al- Ayubi di Padang Besar.

Selain itu, Raja Perlis turut menyampaikan Anugerah Didik Maal Hijrah kepada lima pelajar terbaik dalam lima peperiksaan.

Bagi Anugerah Didik kategori Sijil Tinggi Agama Malaysia, ia dimenangi oleh Mohd. Afdal Abdul Rahim yang kini melanjutkan pelajaran di Mesir, manakala anugerah bagi kategori Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pula milik Siti Natasha Mohd. Nasir, 20.

Anugerah Didik untuk Sijil Pelajaran Malaysia diraih oleh Muhamah Suhayasir Ahmad, 18, manakala anugerah kategori Penilaian Menengah Rendah diberi kepada Aqilah Mohamad, 16, sementara kategori Ujian Pencapaian Sekolah Rendah milik Mohd. Badrol Munir Mohd. Nasir, 13.


KUALA TERENGGANU, TERENGGANU - 18 Dis 09

Siapa sangka kesabaran Abd. Razak Yusof, 70, membesarkan anak seramai 16 orang berbaloi dan beliau kini mampu tersenyum apabila kesemua anaknya berjaya dalam hidup.

Berpegang teguh kepada ajaran Islam dalam mendidik anak-anak serta mempunyai isteri yang memahami tanggungjawabnya bagi membantu menjaga anak-anak ketika ke laut mencari rezeki, menjadi resipi kebahagiaan dan kejayaan hidupnya.

Lebih membanggakan apabila 11 daripada 16 orang anaknya berjaya ke menara gading.

Berkat kegigihan mendidik dan menjaga anak-anaknya itu, Abd. Razak dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Keluarga Mithali Negeri Terengganu 2009 yang diadakan sempena sambutan Maal Hijrah Tahun 1431 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini semalam.

Abd. Razak ketika ditemui pemberita melahirkan rasa syukur apabila penat lelah menjaga keluarganya selama lebih 30 tahun lalu berbaloi apabila melihat kejayaan anak-anaknya tanpa mereka lupa segala jasa ibu bapa.

Beliau tidak menyangka kegigihannya mendapat perhatian kerajaan sehingga diumumkan sebagai Tokoh Keluarga Mithali peringkat negeri kali ini.

"Bukan mudah untuk membesarkan anak-anak seramai ini memandangkan saya hanya seorang nelayan, bayangkan saya terpaksa meninggalkan keluarga selama tiga bulan untuk ke laut suatu masa dulu semata-mata untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga.

"Kini saya mampu menarik nafas lega apabila anak-anak pula menjaga saya dan isteri dengan sebaiknya," katanya.

Tambahnya, setiap malam sebelum tidur, beliau akan mendoakan agar dikurniakan zuriat yang baik dan menyejukkan mata.

"Doa ibu bapa amat penting agar anak-anak sentiasa istiqamah dalam melakukan sesuatu terutamanya dalam soal agama.

"Saya tidak pernah menyesal menjaga anak seramai ini kerana mereka merupakan anak yang soleh dan solehah serta tidak pernah meninggalkan suruhan Allah," jelasnya ketika ditanya resipi kebahagiaan keluarganya.

Turut menemani Abd. Razak ialah isteri, Zaharah Abd. Rahman, 63, dan 16 orang anak-anaknya iaitu Jamilah (guru), 47, Haripas (surirumah), 45, Ismail (guru), 43, Rokiah (pembantu pejabat), 41, Mat Sofi (guru), 38, Mohd. Yusuf (pengurus), 35, Rushidah (guru), 33 dan Rozita (surirumah), 32.

Lain-lain ialah Mohd. Sabri (juruteknik), 30, Suria (surirumah), 28, Zarina (Pegawai Tadbir Diplomatik), 26, Mohd. Firdaus (pegawai penyelidik), 24, Nurul Shafiyah (guru), 24, Nur Fatihah (pensyarah), 22, dan Ain Najwa, (guru), 20.

Pada majlis tersebut, turut menerima penghargaan ialah Imam Masjid Kampung Tualang, Kuala Terengganu, Wan Abdul Wahab Othman, 53, yang dipilih sebagai Imam Cemerlang Negeri Terengganu dan Bilal Masjid Kampung Payang Kayu, Hulu Terengganu, Muhamad Ab. Rahman, 51, sebagai Bilal Cemerlang Negeri Terengganu.

Hadiah disampaikan oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Penglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Hadir sama ialah isteri Tengku Baderulzaman, Toh Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Norliza Mahmud.


TOKOH MAAL HIJRAH SARAWAK

Penekanan aspek pemakanan halal dan kebersihan oleh pasangan Chek Bujang, 58 dan Jariah Tahir, 58, membolehkan mereka membesarkan kesemua lapan anaknya itu sehingga menjejakkan kaki ke peringkat menara gading.

Lantaran daripada kejayaan pasangan itu, mereka dipilih untuk menerima Anugerah Maal Hijrah Kategori Keluarga Cemerlang sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Sarawak 2009 dari Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Menurut Chek yang juga seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dari Kampung Tanjung Apong, pemakanan dari sumber yang halal akan membawa satu darah yang baik iaitu ia akan memudahkan proses pendidikan akhlak anak-anaknya.

Kata datuk kepada empat orang cucu itu, usaha menjaga pemakanan itu juga penting kerana ia juga akan menentukan faktor kesihatan dan dan kecergasan anak-anaknya.

''Namun, kita juga memerlukan kerjasama daripada anak-anak kita kerana sekiranya mereka gagal mengikuti cara kita mungkin akan menyebabkan setiap perkara yang kita hajati akan gagal.

''Saya bersyukur kerana ini adalah satu anugerah yang diberi Allah kepada saya untuk membimbing semua anak saya hingga berjaya ke peringkat universiti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hasil daripada perkahwinannnya, Chek dan Jariah memperoleh lapan anak iaitu Suraya, 36, merupakan seorang guru; Rogayah, 35, pegawai agama Jabatan Agama Islam Sarawak; Roziah, 33, Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yusri, 32, yang merupakan seorang pensyarah Darul Quran.

Selain itu, empat lagi anaknya iaitu Zaidah, 31, baru menamatkan pengajian ada peringkat Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Ridzauden, 30, pelajar Universiti Teknologi Malaysia, (UTM); Zafirah, 22, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Khairiah, 21, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Chek memberitahu, dia mengamalkan pendekatan tegas dan berlembut ketika mendidik anak-anaknya sehingga mereka berjaya.

Malah katanya, dia tidak pernah menghalang anak-anaknya itu untuk membuat pilihan dalam jurusan yang ingin mereka ceburi di universiti.

''Tidak semestinya kita perlu bertegas setiap masa kerana kita hanya perlu bersikap garang untuk membetulkan kesalahan yang dilakukan anak-anak kita.

''Dan setelah mereka dewasa, kita hanya perlu menasihati anak-anak kita kerana mereka sudah mampu untuk menilai baik dan buruk tindakan mereka," jelasnya.

Sementara itu, Jariah berkata, dia menekankan aspek pemberian makanan seimbang terhadap proses pembesaran lapan anaknya itu supaya mereka sentiasa kelihatan cergas dan sihat.

This entry was posted on 3:41 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: