Author: Mohd Asri Silahuddin
•3:42 PM
"TIDAK terjangkau tinggi pekertimu, tidak tergambar indahnya akhlakmu, tidak terbatas segala jasamu, sesungguhnya engkau Rasul pilihan. Cekalnya hatimu menempuh dugaan, mengajar erti kesabaran, menjulang tinggi kemenangan, terpahat namamu di dalam al-Quran."

Bait indah dendangan lagu nasyid menggambarkan keperibadian serta kelebihan Nabi Muhammad SAW yang menjadi contoh sepanjang zaman sememangnya menimbulkan kekaguman dan pada masa sama, melahirkan rasa takut.

Mungkin itu yang cuba diluahkan pemenang Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah/2010 Masihi, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, ketika dikelilingi media yang ingin mendapatkan maklum balas beliau pada Majlis Sambutan Maulidur rasul Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya, semalam.

Selain rasa malu atas anugerah diterima itu, Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu melahirkan rasa takut jika pengiktirafan diterima tidak setimpal khidmat disumbangkan.

Bagaimanapun katanya, beliau tetap bersyukur, gembira dan rasa berkewajipan menerima pengiktirafan berkenaan selain berharap untuk terus berbakti kepada masyarakat dengan memberi pandangan yang boleh diterima serta sesuai mengikut keperluan masyarakat.

Anugerah disampaikan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Anugerah Perdana Maulidur Rasul mula diperkenalkan tahun lalu dan penerima anugerah menerima wang tunai RM50,000, sebuah plak, sijil dan hadiah iringan. Penerima pertama anugerah ini ialah Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba. Anugerah Maulidur Rasul mula diperkenalkan pada 1413 Hijrah (1992 masihi) dan pencalonan terbuka kepada lelaki serta perempuan Islam dan bukan Islam yang terbabit dalam tugas serta perkhidmatan mencabar, berisiko tinggi, kritikal yang memberi kebaikan kepada rakyat dan negara. Penerima menerima hadiah wang tunai RM22,000 berserta hadiah iringan.

Penerima kali ini ialah bekas Pengarah Kesihatan yang aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan, Datuk Dr Abdul Razak Kechik; pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 yang mendapat 21A dan kini sedang melanjutkan pengajian di Jordan, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamel; Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, Faiza Bayumi Syed Ahmad; pendakwah dan penceramah bebas, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz.

Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Yaacob Che Man dan satu-satunya penerima bukan Islam, Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Tan Swee Lian.

Dr Tan berkata, pengiktirafan diterima hasil kerjanya di Mardi selama lebih 30 tahun itu diharap menjadi pendorong kepada penyelidik muda untuk menghasilkan penyelidikan yang membawa faedah kepada masyarakat serta negara.

Beliau yang berjaya mendapat hak milik intelektual bagi lima jenis ubi kayu dan empat jenis ubi keledek mengakui semangat 1Malaysia membolehkan rakyat mendapat pengiktirafan hasil sumbangan mereka serta menjadi pendorong kepada orang lain menyumbang untuk negara.

Sementara itu, Dr Yaacob yang diiktiraf sebagai saintis pertama menerima Anugerah Saintis Halal di World Halal Research Summit 2009, mengharapkan usaha dilakukan untuk mempertingkatkan kepentingan logo halal Malaysia.

Katanya, status halal Malaysia sangat berwibawa dan dipandang tinggi termasuk oleh Pertubuhan Negara Islam (OIC) tetapi berdepan masalah dalam negara seperti kebanjiran logo halal digunakan disebabkan kelemahan undang-undang.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah mengekalkan tradisi berarak sambil berselawat oleh kira-kira 100 kontinjen yang mengambil bahagian sebagai manifestasi kecintaan kepada Rasulullah SAW dan menonjolkan semangat serta syiar Islam.

Perarakan sejauh 2.5 kilometer itu bermula dari Masjid Tuanku Mizan menuju Masjid Putra, Putrajaya. Kontinjen terbabit dalam perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431 Hijrah turut diadili bagi menentukan johan dan naib johan berdasarkan kategori.

Lima kategori dipertandingkan iaitu kategori agensi kerajaan, badan berkanun, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi (IPT) dan institut latihan dan sekolah. Pemenang menerima plak, sijil dan hadiah iringan.

This entry was posted on 3:42 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: