Author: Mohd Asri Silahuddin
•9:47 AM
Daripada Aisyah, katanya: "Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira Baginda akan berpuasa seterusnya. Baginda sering berbuka sehingga kami mengira Baginda akan berbuka terus dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan. Aku juga tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat sebulan lebih banyak dari puasanya pada bulan Syaaban." (Riwayat al-Bukhari)

Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan Syaaban kerana pada bulan tersebut orang Arab akan berhijrah ke tempat lain untuk mencari air sehingga ke gua-gua. Ada mengatakan Syaaban tanda pemisah Rejab dan Ramdhan.

Di sini, dapatlah disimpulkan bahawa pengertian Syaaban adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan memasuki bulan Ramadhan.

Sebahagian hukama' menyatakan bahawa Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa. Syaaban pula untuk memperbaiki diri daripada segala macam celaan dan Ramadhan untuk menerangkan hati dan membersihkan jiwa.

Antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban ialah memperbanyakkan puasa sunat. Kitab Durratun Nasihin ada menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sesiapa puasa 3 hari pada permulaan Syaaban dan 3 hari pada pertengahan Syaaban serta 3 hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya seperti pahala 70 nabi dan orang yang beribadah kepada Allah selama 70 tahun dan apabila dia mati pada tahun itu, maka dia seperti mati syahid."

Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang mengagungkan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, Allah akan ampuni dosanya dan menyelamatkannya dalam tahun itu daripada segala bencana dan penyakit."

Akhirul kalam, sama-samalah kita menghayati dan menambahkan amalan kebaikan dalam bulan ini dan Ramadhan yang bakal kunjung tiba.
This entry was posted on 9:47 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: