Author: Unknown
•10:53 AM

MENGABDIKAN seluruh kehidupan demi menyambung tugas Rasulullah SAW dalam menyampaikan seruan dan tuntutan Yang Maha Esa kepada seluruh isi alam, bukanlah satu kerja yang mudah untuk digalas.

Namun, itulah tugas yang sebegitu berat dipandang apatah lagi dipikul, digalas dengan penuh dedikasi oleh seorang tokoh pengamal media Islam, Allahyarham Datuk Yusoff Zaky Yacob sehingga melayakkan beliau diiktiraf sebagai penerima Anugerah Perdana Media Islam pada Majlis Anugerah Media Islam Negara (AMIN) kali ketiga.

Anugerah berprestij itu bagi menghargai sumbangan dan jasa pengamal media dalam memartabatkan Islam sebagai penggerak kemajuan ummah negara, memihak kepada beliau, seorang tokoh penterjemah karya terkenal, Asy-Syahid Sayyid Qutb - Fi Zilal al-Quran 17 jilid yang ditekuni beliau selama 11 tahun.

Menyelusuri kehidupan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang dilahirkan pada 13 Jun 1928 ini, erti penat lelah dalam kerja penulisan, penterjemahan, pemikiran, kesusasteraan, penyelidikan, penerbitan serta percetakan sebagai insan media dakwah seolah tiada dalam kamus hidupnya.

Menurut Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman ketika membacakan kisah perjuangan tokoh ini pada malam anugerah itu, walaupun cita-cita untuk menterjemahkan kitab yang berhalaman lebih 5,000 halaman itu tercetus sejak tahun 1952 semasa beliau belajar di Kaherah, ia hanya tercapai pada akhir kehidupan beliau.

"Jantungku berdebar jariku menggeletar, hatiku diusik rasa dan tanya yang serius apakah diriku mampu menghabiskan terjemahan kitab sebesar ini atau apakah usaha ku akan patah di tengah jalan, saat usia meniti senja yang mulai suram?

"Apakah tenaga perseorangan berdaya melintasi lebih 5,000 ribu halaman tafsir ini, mampu merenangi dan menyelami lautan pengetahuan dan kebudayaan yang saujana luasnya?"

Itulah antara bait ungkapan beliau di dalam Kata Pengantar kitab terjemahan agung itu yang diterbitkan Pustaka Aman Press atas biaya Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM).

Sesungguhnya harapan dan doa beliau mendapat keizinan dan taufik Allah SWT atas niat murni itu untuk menterjemahkan kitab tafsir bahasa Arab yang begitu tinggi sasteranya ke dalam bahasa ibunda bagi memudahkan bangsa seagamanya mendalami rahsia ilmu dalam kitab itu.

Anugerah Perdana AMIN itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Jamil Khir Baharom kepada anak sulung Allahyarham Yusoff, Nasir Zihni.

Pengiktirafan itu melayakkan beliau membawa pulang trofi, wang tunai RM10,000, hadiah iringan iaitu satu set Kitab Fi Zilal al-Quran 17 jilid bernilai RM3,000 beserta sijil.

Turut hadir pada anugerah itu ialah Timbalan Menteri di JPM, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Allahyarham Yusoff telah mengatur kehidupan beliau di awal usianya sebagai pendakwah dengan melengkapkan diri dengan pelbagai lapangan ilmu sehingga ke aspek pemilihan pusat pengajian.

Ketika kebanyakan pelajar dari Malaysia memilih Universiti Al-Azhar di Mesir, namun ia tidak menjadi pilihan beliau. Sebabnya, semata-mata untuk mendalami ilmu baru dan berlainan kerana skop pengajian di Al-Azhar sudah dipelajari beliau di Kelantan.

American University of Cairo menjadi pilihannya demi mendalami ilmu pendidikan dan psikologi yang telah membuka cakerawala pemikirannya kepada pendekatan baru dalam dunia kepengarangan sebagai senjata untuk berdakwah.

Sesungguhnya minat dan kesungguhan beliau untuk menjadi pengarang dan penulis terbukti apabila banyak buku karya beliau diterbitkan selepas manuskrip pertama berjudul Saikologi Remaja tidak mendapat sambutan pada awalnya.

Bermula daripada langkah pertama itu, maka terbitlah buku-buku susulan beliau antaranya; Dari Rahim Ke Dunia, Psikologi Kanak-kanak, Psikologi Takut, Mencari Kejernihan Jiwa dan 1001 Masalah Jiwa Manusia.

Kelahiran satu-persatu buku tulisan beliau menjadi titik-tolak terdirinya sebuah syarikat penerbitan yang besar iaitu Pustaka Dian Press beberapa bulan sebelum kemerdekaan Tanah Melayu.

Anak kepada seorang ulama Kelantan terkenal, Tuan Guru Haji Yaacob Lorong Gajah Mati itu tidak pernah kenal lelah dan kecewa dalam menggalas tugas berdakwah malah tetap gagah dan kental tanpa melepaskan tanggungjawab sebagai seorang pengarang dan pendakwah Islam sehingga akhir hayat beliau. Beliau akhirnya menyahut panggilan Ilahi pada 19 Januari 1999.

Selain Anugerah Perdana Media Islam, AMIN anjuran Jakim itu turut mempertandingkan Anugerah Penerbitan Radio, Anugerah Penerbitan Televisyen, Anugerah Penerbitan Media Cetak, Anugerah Laman Web dan Anugerah Khas Juri.

AMIN antara lain bertujuan menggalakkan penerbit media elektronik, cetak, penulis dan pengkarya di negara ini menghasilkan karya mengenai Islam yang menjadi wahana ilmu dan penggerak kepada kemajuan umat dan negara.

Utusan Melayu (M) Berhad yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia muncul sebagai penerbit akhbar terbaik bagi kategori Penerbitan Media Cetak Terbaik yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Kemenangan bagi kategori Anugerah Penerbitan Media Cetak itu melayakkan syarikat berkenaan menerima hadiah wang tunai RM2,000, satu set Kitab Fi Zilal al-Quran berserta trofi dan sijil.

Hadiah disampaikan oleh A. Aziz Deraman yang juga Pengerusi Panel Hakim Anugerah Penerbitan Media Cetak kepada Pengarang Agama Utusan Malaysia, Mohd. Radzi Mohd. Zin.

Sebanyak 665 penyertaan diterima daripada pengamal media dan orang awam berbanding hanya 200 penyertaan pada tahun 2007.

Penilaian dan pemilihan pemenang diputuskan barisan hakim yang dipengerusikan Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Abdul Karim.

This entry was posted on 10:53 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: