Author: Unknown
•10:41 AM
SEJAK kebelakangan ini, kes kematian terbaru akibat wabak penyakit H1N1 dilaporkan oleh media massa hampir saban hari. Melihat kepada jumlah kematian terkini yang mencecah 64 orang (sehingga artikel ini ditulis) membuatkan kita berasa keluh kesah tentang kesihatan diri dan kaum keluarga.

Walau bagaimanapun, di sebalik pandemik H1N1 yang meruncing ini, kita perlu meyakini bahawa setiap perkara yang berlaku itu terkandung hikmahnya tersendiri.

Ia merupakan satu tanda, satu cetusan, satu peringatan untuk umat manusia renungkan dan fikirkan agar manusia kembali insaf atas amal perbuatannya.

Situasi yang berlaku kini juga sebenarnya mengajak kita untuk banyak mengingati Allah pada setiap masa, dan bertawakal kepada-Nya dalam apa jua urusan kita. Ini kerana tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah.

Dengan izin Allah kita masih selamat daripada jangkitan wabak selesema H1N1, dengan izin Allah kita senantiasa sihat zahir dan batin untuk meneruskan kehidupan.

Dengan izin Allah kita masih mempunyai peluang untuk menambah amal kebaikan, meninggalkan kemungkaran dan mengajak insan lain untuk maksud tujuan yang sama.

Pada masa yang sama, kehidupan seharian perlu diteruskan. Kita tetap perlu keluar dari rumah atas pelbagai urusan, sama ada mencari rezeki, membeli barang keperluan, menuntut ilmu, melaksanakan ibadah, menjalankan dakwah dan sebagainya.

Namun kita tidak tahu apakah ketentuan takdir yang akan berlaku kepada kita, terutamanya apabila keluar sahaja dari rumah, pergi ke pelbagai tempat, dan menemui pelbagai pihak, tanpa kita ketahui siapa pembawa wabak, atau di kawasan manakah virus itu terawang-awang di ruang udara.

Kini kita perlu sentiasa memakai penutup muka, kerap membasuh tangan, berusaha mengelakkan tempat yang sesak, serta berjumpa doktor apabila berasa kurang sihat, semuanya kita lakukan demi mengurangkan risiko penularan wabak penyakit H1N1.

Kini juga, kita perlu berbelanja lebih atas pembelian barangan kesihatan yang jarang kita gunakan sebelum ini, seperti penutup muka, cecair pencuci tangan, dan penyukat suhu badan.

Hal ini berbeza dengan situasi kehidupan kita sebelum ini. Selama ini kita dianugerahkan nikmat untuk bergerak ke sana sini tanpa sebarang kebimbangan.

Kita ke masjid untuk bersolat jemaah, kita ke taman permainan untuk beriadah, kita ke kedai atau pasar raya untuk membeli barangan keperluan.

Rupa-rupanya nikmat ketenangan fikiran tanpa terfikir sebarang wabak penyakit telah hilang daripada kita, digantikan dengan kebimbangan terhadap penularan H1N1. Hal ini membuatkan kita sentiasa berwaspada, mungkinkah virus itu di mana-mana.

Memikirkan hal ini, rupa-rupanya selama ini kita hidup kerana kasih sayang Allah yang Memberi perlindungan kepada hamba-Nya dan Mengurniakan daya upaya kepada hamba-Nya untuk melakukan perbuatan yang diinginkan.

Seharusnya situasi ini mencetuskan rasa keinsafan kepada kita, bahawa dengan segala nikmat kehidupan yang masih kita kecapi seharusnya kita manfaatkan dengan sebaik-baiknya, sementara nyawa masih dikandung badan.

Doa Senjata Mukmin

Wabak H1N1 tidak mengenal sesiapa, baik yang muda atau tua turut menjadi korban. Yang kaya dan berdarjat tinggi turut tidak terkecuali, dengan harta yang dimiliki masih tidak dapat membeli vaksin pencegahan penyakit ini kerana masih tidak kedapatan.

Jika usia, harta kekayaan, dan tahap kesihatan kita tidak semestinya membolehkan kita benar-benar bebas daripada risiko penularan H1N1, lalu apakah sandaran kita untuk selamat dari sudut zahir dan tenang dari sudut fikiran daripada ancaman H1N1?

Sebagai Muslim, kita perlu berikhtiar untuk mengecapi sesuatu hajat, dan pada masa yang sama kita juga perlu berdoa kepada Allah, memohon agar hajat tersebut dimakbulkan.

Justeru dalam keadaan sekarang, amalan berdoa kepada Allah untuk memohon perlindungan-Nya agar kita terhindar daripada segala macam mudarat khasnya jangkitan atau penyembuhan H1N1 adalah amat disyorkan.

Amalan berdoa dapat memberikan kita ketenangan fikiran, kerana kita menyandarkan harapan kepada Allah yang Maha Berkuasa, beserta keyakinan bahawa doa kita akan dimakbulkan.

Jika belum dimakbulkan, maka kita meyakini bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita dan sentiasa bersangka baik kepada-Nya.


Amalkan Pemakanan Sunnah

Tatkala kita berusaha mencegah jangkitan penyakit H1N1, aspek pembinaan ketahanan tubuh badan juga perlu diberi perhatian khasnya melalui pemakanan kita.

Melalui cara pemakanan dan pemilihan makanan yang betul, tubuh kita mampu beroleh zat pemakanan yang secukupnya dan berkhasiat untuk menjalankan fungsi tubuh dengan baik serta mengelakkan jangkitan penyakit.

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita amat bersyukur kerana panduan kehidupan yang dianjurkan oleh Rasulullah tercinta turut merangkumi aspek pemakanan. Dan kita seharusnya yakin bahawa sunnah baginda dalam soal pemakanan mempunyai hikmah yang besar terhadap kesihatan tubuh badan dan jiwa.

Sebagai contoh, berdasarkan satu hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah menganjurkan agar kita tetap dengan pengambilan habbatus sauda kerana ia merupakan ubat kepada pelbagai penyakit kecuali mati.

Begitu juga dengan adab-adab makan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW, pastinya terkandung hikmah yang menjurus kepada kesihatan zahir dan batin.

Umpamanya berhenti makan sebelum kenyang dapat membantu mengelakkan tubuh memperoleh zat berlebihan yang boleh menjurus kepada obesiti atau penyakit lain.

Justeru kita seharusnya berusaha untuk mengamalkan pemakanan sunnah yang mana ia adalah sebahagian daripada sunnah Rasulullah.

Untuk mengamalkan pemakanan sunnah, kita perlu memahami jenis makanan yang dipilih, cara makan serta adab-adab ketika makan.

Kita juga perlu berusaha ke arah meneroka rahsia hikmah pemakanan sunnah terhadap kesihatan manusia. Dengan izin Allah kita mungkin berupaya menemukan anekdot khusus kepada penyakit H1N1 melalui pemakanan sunnah.

Insya-Allah kita perlu yakin bahawa setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati. Pada mana-mana makanan sunnah itu mungkin salah satunya mampu memberikan daya ketahanan khusus kepada tubuh badan kita agar terhindar daripada jangkitan H1N1.

Tetapi apa yang penting ialah pemakanan sunnah kita amalkan adalah kerana kita berusaha mengamalkan sunnah Rasulullah dalam kehidupan dengan matlamat mencapai keredaan Allah.


Kesimpulan

Wabak H1N1 sebenarnya mengundang kita untuk sentiasa menyuburkan sifat bertawakal dan pengharapan kepada Allah pada setiap masa agar kita sentiasa terlindung daripada sebarang wabak penyakit, kejahatan makhluk, bencana atau apa jua kemudaratan.

Dengan doa, tawakal serta ikhtiar kita harapkan agar urusan kita dipermudahkan, diri kita dilindungi daripada wabak H1N1 atau kemudaratan lain serta mendapat ganjaran pahala daripada Allah.

This entry was posted on 10:41 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: