Author: Mohd Asri Silahuddin
•10:09 AM

Soalan 1:
SAYA difahamkan bahawa zakat fitrah diwajibkan keatas setiap muslim dengan makanan asasi. Soalannya, kenapa di Malaysia ia ditukar kepada nilai wang?

Jawapan:

Mengikut ketetapan asal, zakat fitrah ditunaikan sama ada menggunakan tamar kering atau basah, gandum dan biji-bijian.

Imam Syafie dan Maliki berpendapat, zakat fitrah hendaklak dikeluarkan berdasarkan makanan asasi sesebuah negara. Sebuah hadis riwayat oleh Imam Ahmad dan Abu Daud dari Tsalabah bin Abu Saghir boleh dijadikan sandaran: "Bayarlah zakat fitrah satu sha' gandum atau bur daripada setiap manusia (muslim), anak-anak atau orang dewasa, merdeka atau hamba sahaya, kaya atau fakir, lelaki atau perempuan".

Walau bagaimanapun, fuqaha berbeza pendapat mengenai keharusan mengeluarkan zakat fitrah dengan harga (wang) dan bukannya harta (makanan).

Imam Abu Hanifah dan at-Tsuri memetik pendapat daripada Umar bin Abdul Aziz r.a bahawa dibolehkan mengeluarkan zakat dengan harga (wang) dan pendapat ini turut disokong oleh Hassan Basri.

Memandangkan penggunaan wang lebih sesuai pada hari ini, maka ia lebih diraikan demi kemaslahatan ummah dan inilah tujuan zakat fitrah, iaitu mencukupkan orang-orang miskin pada hari raya jangan sampai meminta-minta (riwayat Imam Baihaqi). Wallahu A'lam.


Soalan 2:

Adakah benar pahala orang yang berpuasa tetapi tidak menunaikan zakat fitrah maka ia akan digantung (tidak diterima) oleh Allah swt?

Jawapan:

Memang terdapat sebuah hadis mengenai persoalan ini, iaitu: "(Ibadah) bulan Ramadan digantungkan antara langit dan bumi dan tidak diangkat kepada Allah kecuali dengan zakat fitrah". (riwayat Ibn Asakir).

Walau bagaimanapun, ulama hadis mempertikaikan kesahihan hadis ini, lantaran ada di antara perawinya yang tidak dikenali (majhul) dan ia juga bercanggah dengan mafhum hadis lain mengenai keutamaan beribadah khususnya di bulan Ramadan.

Sebenarnya setiap muslim wajib menyedari, ibadah yang wajib dan difardukan di sisi Islam, sama ada solat, puasa, zakat dan haji, masing-masing mempunyai tatacara penunaiannya yang tersendiri.

Apabila ia ditunaikan berpandukan syarat-syarat dan rukunnya, maka sahlah ibadat tersebut. Sama ada diterima atau tidak oleh Allah SWT, maka ia adalah hak Allah swt sendiri yang menentukannya.

Oleh itu, pandangan bahawa 'pahala puasa tergantung' hanyalah merupakan suatu penegasan agar kita benar-benar menghayati ibadah yang sepatutnya dipersembahkan kepada Allah dalam pakej yang sempurna.

Ibarat orang mahu meminang, maka mestilah lengkap segalanya baharulah beradab dan wajar diterima. Maka, apatah lagi ibadah puasa, wajib dijaga kesempurnaannya dengan diakhiri menunaikan zakat fitrah. Wallahu A'lam.

This entry was posted on 10:09 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: